Sebulan Yang Meletihkan

Posted on Sabtu, Mei 02, 2009

Bismillah..

Alhamdulillah, hari ni dah masuk 2 Mei. Hampir 12 hari saja lagi ana akan menghadapi saat gentir imtihan. Tidak ada masa lagi bagi ana untuk bermain-main, berseronok-seronok, buang masa dan memangku diriba keselesaan. waktu di Mesir ni rasanya bergerak cepat sekali. Pejam celik rupanya sudah hampir 2 tahun 5 bulan kaki ana menjejak di bumi anbia' ini. Adakah keberkatan masa kian hilang dari insan hina ini?. Ya Tuhan, berikan kami kekuatan memenuhi masa dengan ibadah kepadaMu. Kalau diimbau balik masa-masa yang berlalu sepanjang ana berada di sini, banyak kenangan suka duka yang dilalui. Ada yang boleh dijadikan pedoman dan iktibar, bahkan tidak kurang juga yang hanya perlu dijadikan sempadan peringatan. Kesilapan lampau yang perlu diperbaiki jangan dibiar berulang sekali lagi. Teringat mafhum sabdaan kekasihku, Rasulullah SAW :"Tidak akan jatuh seorang mukmin ke dalam satu lubang dua kali" yang bermaksud bahawa seorang mukmin tidak sepatutnya melakukan suatu kesilapan atau kemaksiatan kali kedua setelah disedari dan diinsafi kesilapan tersebut. InsyaAllah, sedayanya cuba ana pastikan kesilapan itu tidak berulang lagi.

Bangun ana di pagi hari ini, bertanya dalam hati, Apakah tujuan Tuhan jadikan diriku?. Ke mana halatuju hidup ini?. Pertanyaan ini sepatutnya selalu bermain dalam minda seorang yang bergelar hamba. Agar tidak leka dan alpa dia dalam fatamorgana dunia. Begitulah kita sebagai manusia sering lupa. Oleh sebab itu, Tuhan utuskan kepada kita para utusanNya dari kalangan para rasul dan nabi bagi memperingati dan menunjukkan mereka ke jalan mustaqim. Manusia juga perlukan motivasi dan pembinaan kekuatan jiwa dalam melayari kehidupan. Hal ini kerana manusia itu diciptakan juga dari unsur spiritual atau ruhiah selain jasad jasmaniah yang menghiasi mata duniawi. Ana tinggalkan kata-kata ini untuk renungan.

[4/4/2009 : Muhasabah Nisfu Sanah]

Hari ini muncul semangat untuk menulis. Kadang-kadang malu nak buka laman blog sendiri. Sebabnya tak sempat nak update dan yang pastinya malas nak menaip. Curi-curi masa petang lepas solat Asar hari ini, ana rehat sekejap di meja komputer untuk menulis satu cerita bagi memuatkan entri blog ana ini. Cerita berkenaan peristiwa kehidupan sepanjang sebulan yang lalu. Sebulan yang meletihkan. Sebulan yang mengerah tenaga kudratku untuk diberikan. Sekadar sebuah catatan supaya tidak lupa dalam ingatan.

Yalah, setiap orang pasti ada tanggungjawabnya. Ada sahaja yang perlu kita lakukan, selesaikan dan laksanakan untuk memenuhi tuntutan tanggungjawab yang diamanahkan. Bahkan tanggungjawab kita yang paling utama ialah sebagai hamba kepada Rabbul Jalalah, Allah Subhanahu wa Taala. Ana sedar tanggungjawab ana dalam persatuan mahasiswa Kedah di Mesir sebenarnya cukup berat untuk ana laksanakan. Di samping tugas menuntut ilmu yang semestinya perlu ana tunaikan, di pundak ini terbeban satu tugas yang sungguh memenatkan. Sesi 2008/2009 bagi MKKK meletakkan ana sebagai setiausaha persatuan ini. Jawatan yang tidak pernah dipegang sebelum ini, bahkan tidak pernah mengimpikan untuk disandang telah diserahkan kepada ana. Apapun, tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan. Mana mungkin ana lari dari tanggungjawab itu. Bukan kerana menyesal, tetapi apa yang ingin ana lontarkan ialah menjelaskan betapa beratnya tanggungjawab kepimpinan. Hanya mereka yang benar-benar bersedia dan mampu melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dapat menanggung bebanan tersebut dengan baik. Jelaslah ana bukan dari kalangan tersebut.

[11- 12/4/2009 : Rehlah ke Mansurah]

Bermula dari 1 April yang lalu lagi jadual aktiviti atau tugas ana telah terisi. Semua perancangan kerja ana letakkan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan. Telah terbayang dalam pemikiran ana, rupanya bulan ini banyak juga aktiviti yang akan berlangsung. Walaupun fatrah imtihan bagi penuntut-penuntut Al-Azhar semakin hampir dan mereka masing-masing sibuk menelaah kitab, ana sedar tugas ana tidak ikut serta dalam rentak itu. Biarpun masa yang begitu mendesak tumpuan sepenuhnya kepada ulangkaji pelajaran, tanggungjawab dalam persatuan ini seringkali memaksa diri ana dan mengganggu rutin yang sepatutnya berlaku. Mudah-mudahan Tuhan permudahkan.

Senarai aktiviti yang telah berlangsung pada bulan April dan haribulan :
1. Mesyuarat bersama PMRAM - 1, 8 dan 16
2. Mesyuarat MKKK (AJK kecil) - 2 dan 13
3. Program Muhasabah Nisfu Sanah - 4
4. Majlis Penangguhan Kelas Pengajian - 6 dan 8
5. Ceramah motivasi - 15
6. Lawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah - 21 hingga 26

Aktiviti ini tak termasuk lagi kerja-kerja yang datangnya tidak diundang. Serabut otak jadinya memikirkan bagaimana untuk menyusun masa sepanjang bulan April lepas. Alhamdulillah segalanya telah berlalu. Akan tetapi perlaksanaannya secara lumrahnya memang ada lurah dan tompangnya. Mudah-mudahan hari esok adalah lebih baik daripada hari ini. Bulan hadapan lebih bersinar amalan daripada bulan yang lalu. InsyaAllah...
[25/4/2009 : Majlis Ramah Mesra bersama Exco Kerajaan Negeri]

Wasiat Saidina Ali Karamallahu Wajhah :
"Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin kepada manusia maka dia hendaklah mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum mengajar orang lain. Dan dia hendaklah memperelokkan setiap tindak tanduknya seharian sebelum memperelokkan dengan lidah. Dan sesiapa yang mengajar dirinya sendiri serta memperelokkannya lebih layak untuk mendapat kemuliaan daripada mereka yang mengajar dan memperelokkan manusia yang lain."

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 :
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments

One Response to "Sebulan Yang Meletihkan"

  1. lembah bujang on Ahad, Mei 03, 2009 6:03:00 PG

    assalamualaikum..insyaAllah, terdapat hikmah dan kelebihan dalam perjuangan..kita hidup utk berkhidmat dan mmberi mnfaat kepada insan2 muslimin yg lain.. trus istiqmah! =)