HIJRAH RASULULLAH SAW: 'Role Model' bagi mereka yang ingin berubah (Bahagian 1)

Posted on Ahad, Januari 20, 2008

Muqadimah
Telah 1419 tahun berlalu umat Islam menangisi pemergian nabi yang dikasihi, Rasulullah SAW, setelah 63 tahun menterjemahkan sebuah kehidupan yang cukup mulia. Baginda SAW merupakan pemuda yang disegani, pemimpin yang beramanah, panglima tentera yang bijaksana, ketua keluarga yang penyayang serta individu yang disenangi oleh kawan dan lawan. Segala kebaikan itu terhimpun dalam sebuah episod perjalanan hidup insan yang paling dikasihi Allah ini.
Firman Allah Taala :"Tidaklah Kami (Allah Taala) mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam" (Surah Al-Anbia' : ayat 107)

Segala ruang lingkup kehidupan Rasulullah SAW adalah sebagai panduan dan petunjuk kepada umatnya. Sirah hidup Baginda SAW ibarat sumber cahaya yang menerangi kegelapan jahiliah manusia. Amat rugilah barangsiapa yang menolak cahaya petunjuk ini dengan berpaling padanya. Tekapai-kapai dan terguap-guap dalam kelemasan lautan jahiliah.
Firman Allah SWT :
3. Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu Yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
4. Segala Yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu Yang diwahyukan kepadaNya. (Surah Najm : ayat 3 dan 4)

Dalam ayat al-Quran menyatakan bahawa ciri-ciri muslim yang sebenar itu ialah mereka yang menjadikan para nabi dan rasul sebagai role model dan pedoman dalam kehidupan mereka. Mereka inilah dianugerahkan rahmat dan keredhaan daripada Allah serta dibalasi syurga di akhirat kelak .
Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Taala :21. Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) ( Surah al-Ahzab : ayat 21)

Maka, muslim sejati itu ialah mereka yang menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber rujukan jika berlaku sebarang masalah dalam kehidupan mereka. Bukanlah undang-undang, peraturan-peraturan dan ideologi-ideologi manusiawi yang dijadikan pedoman. Manusia hanya meletakkan panduannya mengikut akal pemikirannya yang amat terbatas. Sedangkan Tuhan Segala Makhluk itu telah menentukan apa yang terbaik untuk manusia sejagat tanpa mengira warna kulit, perbezaan bahasa, taraf hidup dan lain-lain faktor yang menjadi benteng perbezaan sesama manusia.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments