Muhasabah dirimu wahai insan..

Posted on Khamis, Januari 03, 2008
Filed under ,

Waktu berganjak begitu pantas. Detik-detik berlalu tanpa jemu. Hari-hari lalu meninggalkan manusia yang masih terkapai-kapai. Akibat alpa dan leka dalam bayangan fatamorgana, majoriti manusia terjebak dalam keseronokan dan keindahan dunia. Hanya insan-insan yang menyedari akan hakikat kehidupan dan memahami erti penghambaan terhadap Tuhan yang dijamin kejayaan. Mereka meniti kehidupan di dunia ini ibarat tempat singgahan dalam perjalanan menuju destinasi tujuan.


Bahagialah mereka yang berjaya mengharungi onak dan duri sepanjang perjalanan. Menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan. Agar tidak sesat dalam membuat penilaian dan pilihan. Apabila kehendak dan suruhan Tuhan itu dipenuhi, larangan dan tegahanNya dijauhi, apakah masih khilaf kita dalam mencari kehidupan yang hakiki? Itulah sebenarnya maksud perjuangan yang abadi. Perjuangan dalam menghambakan diri kepada Ilahi. DaripadaNyalah kita diciptakan dan kepadaNya sajalah kita akan dikembalikan..

Wahai insan, sedarlah dirimu hanya hamba abadi. Kepada Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mencipta. Mengapa dunia dan nafsu yang kamu sembahkan. Walaupun tidak secara zahiri, namun tanpa disedari, patuhan kamu secara maknawi. Menuruti setiap jejak langkah makhluk yang mensyirikkan Tuhan Pencipta langit dan bumi. Meninggalkan bimbingan Al-Quran dan Sunnah di tepi. Kebaikan kamu abaikan, keseronokan dan kepuasan tanpa erti yang kamu inginkan.

Kembalilah wahai insan ke pangkuan kebenaran. Pesongkan dirimu dari kejahatan yang meyongsangkan itu. Agar kamu tidak menyesal kemudian. Pada hari amalan kamu ditimbang dan diberi pembalasan..

"Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab (pada hari kiamat)"
- ٍSaidina Umar Al-Khattab
حَاسِبُوا أنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا

Mulakan tahun baru (Hijriah) yang akan tiba dengan semangat yang jitu dan tujuan yang jelas..
Tetapkan tarbiah, laksanakan wajibah..
Ayuh pemuda Islam!



These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments