Dinginnya Renyai-renyai Hujan Di Egypt

Posted on Sabtu, Oktober 25, 2008
Filed under , ,

Bismillah..
Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi. NikmatNya terlalu banyak untuk dihitung. RahmatNya terlalu luas untuk dinilai. Namun, kenapakah setiap hembusan nafas ini seringkali tidak disyukuri oleh hamba yang hina ini? Wahai Tuhan, fatamorgana dunia acapkali mengaburi mata hati ini. Kepalsuan nafsu dan syaitan mengaburi kebenaran dalam jiwa raga. Kabulkanlah doa hambaMu yang hina ini :
"Wahai Tuhan kami, bantulah kami dalam mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan memperelokkan ibadat kepadaMu" Doa yang diajar oleh kekasihMu, Muhammad SAW kepada kami ini sungguh besar ertinya. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui segalanya.

Perjalanan semalam amat besar nilainya. Musafir ilmi ke Perlembahan Nil, meninggalkan bumi pertiwi bukannya tiada makna. Lambaian syahdu kaum keluarga dan sanak saudara masih bermain di mata. Indah permai desa masih terbayang di jiwa. Aku tinggalkan semuanya itu bukan kerana suka-suka atau sengaja tidak bermakna. Tapi jiwa ini perlu diisi dengan cahaya ilmu dan suluhan agama. Perjuangan menuntut ilmu perlu diteruskan meskipun kepahitan sedia menanti. Duri di sepanjang jalan perjuangan ini sedia menyusuk daging-daging lembut kesabaran. Mudah-mudahan kesusahan ini akan sanggup untuk menebus daki-daki kemaksiatan.

Di Lapangan Terbang Singapura

23 Oktober 2008, 9.15 malam- Penerbangan dari Penang ke Singapura telah sedia berlepas. Singapore Airlines, penerbangan yang dipilih oleh aku itu mengerakkan sayap kapal terbangnya. Pergerakkannya mulai menjadi laju dan memecut deras ke ruang langit bumi. Setelah berlalunya sebuah episod sedih perpisahan bersama keluarga dan sahabat handai di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang itu, aku telah sedia menempuh perjalanan yang memakan masa hampir 16 jam itu. Iaitu 1 jam 25 minit masa perjalanan dari Penang ke Singapura, 3 jam 40 minit masa untuk transit di Lapangan Terbang Changi, Singapura, dan10 jam 20 minit masa penerbangan dari Singapura ke Egypt. Lebih setengah hari waktu perlu dihabiskan untuk merayau-rayau di Airport dan duduk tercegat dalam kapal terbang tentunya meletihkan dan menyeksakan. Aku kuatkan hati berbekalkan semangat dan iringan doa mereka yang dikasihi untuk menempuh saat-saat penuh kepayahan ini. Benarlah sabdaan kekasih Ilahi :

"Perjalanan musafir itu sebahagian daripada penyeksaan, Ia menghalang seseorang kamu dari tidurnya, makanannya dan minumannya...."- hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

24 Oktober 2008, 6.40 pagi (waktu Mesir)- Alhamdulillah, kapal terbang yang dinaiki aku bersama 6 orang sahabat yang lain selamat mendarat di Lapangan Terbang Baru (Mathor Jadid) Kaherah. Penerbangan kami berjalan seperti yang dijadualkan. Penat letih tak dapat diungkapkan ketika itu. Dengan rasa penuh kesyukuran dan berdebar-debar untuk bertemu rakan-rakan yang sedia menanti kami di sini, aku langkahkan kaki keluar dari kapal gergasi Boeing 747 Singapore Airline itu ke kaunter imigresen dan seterusnya ke tempat pengumpulan barang bagasi. Sambil menunggu barang aku sampai dari mesin membawa barang bagasi itu,
redup jauh aku lihat kelibat rakan-rakan yang menunggu di luar. Muncul rasa gembira dalam hati dan tak sabar-sabar rasanya memeluk erat mereka yang menunggu di sana. 2 bulan meninggalkan bumi Mesir cukup memberikan seksa rindu kepada mereka. Yalah, mana tidaknya, rakan-rakanlah umpama pengganti kaum keluarga dan sanak saudara di sini. Tempat berkongsi segala suka dan duka. Saling bantu membantu ketika memerlukan pertolongan. Benarlah sabdaan Rasulullah SAW : "Umpama hubungan seorang Mukmin dengan mukmin yang lain ialah seperti sebuah bangunan. Mereka saling lengkap melengkapi antara satu sama lain". Hubungan mereka didasari atas pangkal keimanan dan mencapai keredaan Allah. Bukan kerana maksud duniawi dan mencapai sesuatu daripadanya yang bersifat kebatilan. Mudah-mudah hubungan ukhuwah ini akan terus berkekalan.

Bersama YDP MKKK, Ustaz Abu Bakar Razak di Mathor Jadid

Setelah puas bertegur sapa, bertanya khabar, dan bergurau mesra di saat pertemuan itu, kami bertolak ke asrama Kedah di HaiyuAsyir dengan 2 buah kereta yang sedia menanti. Di asrama Kedah Haiyu Asyir itulah teratak indah aku dan rakan-rakan meniti kehidupan mahasiswa sudah hampir 2 tahun. Imaginasi kembali bermain di fikiran aku mengenangkan tempat-tempat dan suasana di sini yang tiada perubahannya ketika di sepanjang perjalanan. Yalah, 2 bulan bukannya masa yang cukup panjang untuk perubahan dari segi pembangunan di sini. Bahkan ada ustaz-ustaz aku yang sudah tamat pengajian dan pulang ke Malaysia bertahun-tahun lamanya, apabila mereka datang ziarah ke sini, mereka mengatakan tiada perubahan besar yang berlaku di sini. Masih kekal bangunan dan wajah tempat-tempat di sebahagian besar kawasan pengajian ketika mereka masih di sini dahulu. "Mesir memang sebuah negara yang sangat unik dan antik". Bisik hatiku.

Sesudah sampai di perkarangan asrama, aku lihat terdapat beberapa orang sahabat yang sudah sedia menunggu ketibaan aku atau secara kebetulan sudah berada di situ. Dihulur salam mesra, ditanya khabar berita dan disapa ceria sesama kami. Setelah sarapan bersama di restoran Darul Ehsan, kami naik ke bilik. Aku meminta izin sahabat-sahabat yang datang berziarah untuk berehat sementara waktu kerana tidak mampu untuk melayan mereka buat seketika itu. Keletihan yang teramat memudahkan mata layu ini terlelap ke alam mimpi. Sementara sahabat-sahabat yang datang aku biarkan mereka menjamu kuih-kuih raya yang aku bawa serta membelek naskah-naskah surat khabar dan majalah dari Malaysia. Tentunya mereka kempunan untuk menikmati semua itu setelah bertahun lamanya meninggalkan Malaysia.

Sejam lebih selepas itu mimpi aku terganggu dek kejutan oleh teman sebilik. Dia memberitahu aku bahawa waktu solat Jumaat telah masuk dan azan telah berkumandang dari masjid-masjid berdekatan. Aku bingkas bangun dan bergegas bersiap-siap ke masjid. Setelah memakai pakaian bersih dan mengenakan sedikit wangian, aku berjalan ke Masjid Bir Walidain yang terletak hanyalebih kurang 350 meter dari asrama. Keterlewatan ketika bersiap-siap untuk ke masjid tadi menyebabkan khutbah Jumaat telah bermula. Aku ambil tempat lalu aku solat sunat tahiyatul masjid. Sesudah selesai, aku duduk dengan tenang sambil mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib. Khutbah yang disampaikannya cukup bersemangat dan bertenaga. Tidak seperti khutbah di Malaysia yang selalunya dengan hanya membaca dari teks-teks khutbah yang disediakan oleh jabatan agama negeri. Adakalanya nada yang disampaikan
oleh sesetengah khatib tidak serasi sepertimana isipati yang terkandung di dalam teks tersebut. Tidak mengapalah, bagi aku,yang penting para hadirin sidang jumaat mendapat apa yang disampaikan. Bukan hanya melenguk di masjid dan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Akan tetapi khutbah di Mesir disampaikan tanpa teks dan diucapkan dengan penuh penghayatan. Tambahan pula jika khutbah itu disampaikan oleh ulama'-ulama' yang masyhur kealiman dan ketinggian ilmu mereka di sini.

Tamat sahaja khutbah dan solat Jumaat serta melakukan ibadat-ibadat sunat di masjid itu, aku bergerak pulang ke asrama. Tidak disangka-sangka, dalam perjalanan pulang itu tiba-tiba hujan renyai-renyai turun melembabkan tanah permukaan bumi. Hujan ini menandakan musim sejuk sudah mula tiba. Titik-titik hujan mengenai tubuh dan pakaian menyebabkan aku melajukan
langkah ke asrama. Takut-takut demam pula. Dingin hujan ini meyusuk ke tubuh badanku. Rongga-rongga kulit itu tangkas merangsang elemen kesejukan yang terdapat dalam kulit menyebabkan aku bertindak balas dengan melangkah segera ke bilik. Sampai sahaja

di bilik, aku intai dari jendela sambil melihat titik-titik hujan yang turun renyai-renyai menerpa bumi kering ini. Rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas nikmat yang begitu berharga ini. Bertasbihlah bumi memuji Tuhannya yang Maha Mencipta lagi Maha Melaksanakan mengikut kehendakNya.

Suasana sepanjang perjalanan ke asrama Haiyu Asyir

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments