Tersungkur Di Riba Kerinduan (Bhg.1)

Posted on Rabu, Oktober 08, 2008
Filed under , ,

Alhamdulillah, syukur tahun ini berkesempatan menyambut hari raya di tanah air. Setelah 2 tahun di perantauan nun jauh di tengah dunia, Egypt. Hati dan perasaan tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Kaum keluarga, sahabat handai, dan teman seperjuangan menjadi pengubat duka, terurai segala kerinduan lara. Bukanlah menjadi suatu detik perancangan untuk aku terbang pulang menghirup udara Malaysia, menikmati saat-saat bahagia bersama keluarga pada tahun ini, akan tetapi kerana memenuhi permintaan ibu yang dikasihi, akhirnya kakiku menjengah ke bumi pertiwi.

Setelah 2 bulan kelibat udara, gelagat manusia, rentetan peristiwa gembira dan duka ditempuhi di sini, aku terasa ingin mengungkapkan satu cerita. Cerita yang tidak dapat dilupa, akan aku ingat sampai bila-bila. Bukan cerita biasa tetapi peristiwa yang menyentuh jiwa.

Peristiwa pada hari raya ke-5 ini adalah berkenaan hati seorang ibu yang diusik dek kerinduan kepada seorang anak di perantauan. Ketika si ibu menikmati saat-saat gembira berhari raya bersama ahli keluarga, hatinya terkenang kepada seorang permata nun jauh di sana tidak dapat bersama-sama mereka. Itulah anaknya yang terpaksa merantau jauh meninggalkan kampung desa demi perjuangan ilmu yang tiada kesudahan. Akhirnya, perasaan si ibu tidak dapat dibendung lagi kerana hatinya memang dicipta demikian rupa. Air mata deras mengalir mengiringi limpahan rindu terhadap anak yang diingati.

Ketika aku dihantui keletihan selepas pulang dari menziarahi kawan-kawan di Alor Star, aku lunjurkan badan bagi menghilangkan keletihan. Tidak aku sangka tidur petangku hari itu akan diganggu oleh tetamu yang tidak diduga. Mimpiku terganggu dek kejutan oleh ayah. Katanya ada tetamu yang ingin berjumpa dengaku. Dalam kepayahan, aku bingkas bangun juga untuk meraikan tetamu di ruang tamu rumahku. Jam ketika itu baru sahaja 5.00 petang. Aku hanya dapat menikmati beberapa minit tidur petangku hari itu bagi memulihkan kesegaran badan setelah seharian penat berjalan-jalan. Setelah aku bersihkan muka dan salinkan pakaian, aku menuju ke ruang tamu rumah. Kelihatan ibu dan ayahku sedia berbual bersama 2 orang tetamu. Segera aku menuju kearah mereka dan menghulurkan tangan bersalaman dengan tetamu yang tidak kukenali ini. Aku duduk bersebelahan ayah sambil aku cuba amati dan meneka siapakah mereka yang seakan telah menjengah setengah abad usia. Rupanya betullah sangkaanku, mereka ialah ibu dan ayah kepada seorang rakanku di Mesir. Walaupun diperkenalkan oleh ibu, tapi aku sudah dapat menjangkakan siapakah mereka sebelumnya dengan raut wajah mereka yang sebentuk rupa wajah seorang rakanku di sana. "Seharusnya aku menyantuni sebaik mungkin tetamu yang bukan sahaja kerana mereka lebih tua daripadaku, bahkan mereka ialah ibu dan ayah kepada rakan karibku". Itulah yang bermain di fikiranku ketika itu.

Baru sahaja aku mengambil tempat dudukku di kusyen empuk baru rumahku itu beberapa ketika,tiba-tiba aku tergamam seketika. Begitu juga ibu dan ayahku. Dalam sekelip mata, suasana yang gembira tadi berubah menjadi pilu apabila ibu kepada rakanku ini tiba-tiba menekup wajahnya serta menangis teresak-esak di tempat duduknya. Tangisan rindu seorang ibu perlahan-lahan meresap masuk ke jiwaku. Begitulah jiwa sang ibu kepada anaknya yang begitu dikasihi.


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments