Risalah Menyeru Umat Islam Untuk Membantu Saudara Islam Di Palestin

Posted on Khamis, Januari 01, 2009

Bismillah...

Hari ini merupakan hari pertama dalam tahun masihi (1 Jan 2009M) dan masuk hari ke-5 dalam tahun hijri (5 Muharam 1430H). Ana ingin sekali menulis satu tajuk berkenaan sambutan tahun baru ini untuk sama-sama kita renungkan. Yalah, sepatutnya dengan ketibaan tahun baru ini kita semestinya ada agenda baru, semangat baru dan segalanya mesti baru. Termasuklah niat dan keimanan kita mesti diperbaharui dan digilap.
Tapi hari ini ana ingin menukilkan kembali satu risalah buat tantapan ana dan sahabat-sahabat. Setelah hati ini merasa terlalu terluka dan jiwa sangat sengsara apabila memikirkan saudara-saudara kita yang sedang bergelut berjuang di bumi Palestin. Tidak sepatutnya kita berdiam diri dan endah tak endah dalam isu ini. Ikatan ukhuwwah sepatutnya mengalir sebati dalam darah daging kita. Menjadikan umat Islam itu bagaikan satu tubuh yang saling merasa. Sengsaranya saudara kita di Palestin begitu juga terasa sengsaranya kita di sini.
Risalah ini ana terjemahkan dan adaptasikan daripada risalah yang dikarang oleh Dr. Safar Abd. Rahman alHawali berkenaan kesedaran dan pemahaman yang sepatutnya tertanam dalam pemikiran kita sebagai umat Islam. Semoga Allah Taala merahmati beliau.
Risalah ini merupakan suatu seruan buat umat Islam untuk membantu saudara-saudara kita yang sedang berada Palestin. Sesungguhnya risalah ini menerangkan kedudukan jihad dengan jiwa raga dan jihad dengan harta benda dalam agama Islam di samping menyeru umat Islam untuk menginfakkan harta mereka di jalan Allah. Selain itu turut menjelaskan hakikat masyarakat rejim zionis Israel dengan menyatakan bahawa sebarang tindakan berurusan (berdamai dan sebagainya) dengan mereka ibarat mengenggam udara atau menghimpunkan 2 perkara yang saling berlawanan. Di akhir risalah ini aku menyeru umat Islam untuk menginfakkan segala kemampuan mereka demi saudara-saudara kita di Palestin, serta menyucikan tanah suci Baitul Maqdis itu daripada musuh-musuh Allah Taala.
INTIPATI SERUAN UNTUK MEMBANTU PERJUANGAN
SAUDARA–SAUDARA KITA DI PALESTIN
(Perkara Yang Perlu Kita Difahami)


1. KEDUDUKAN JIHAD DI JALAN ALLAH TAALA (Jihad fi Sabilillah)

Maka demi menghindari perbuatan jenayah serta menegakkan kebenaran yang wajib ke atas kita khususnya apa yang telah dideritai oleh kaum muslimin di Palestin yang telah dijajah, aku menyebutkan seperti berikut :

Sesungguhnya jihad saudara kita di Palestin yang telah dijajah merupakan jihad yang mulia pada jalan Allah Taala. Demi mempertahankan kesucian kaum muslimin, menghapuskan kezaliman yang berlaku kepada mereka dan menuntut dikembalikan tanah mereka dan umat Islam. Mereka telah diuji di sana dengan kesakitan, dukacita dan keletihan. Aku tidak mengetahui jihad di jalan Allah Taala pada hari ini yang lebih baik daripada jihad bersama mereka bagi sesiapa yang berkemampuan dengan harta, jiwa raga, perkataan atau doa.

Oleh yang demikian, sesungguhnya pertolongan kepada mereka merupakan hak yang wajib dilaksanakan dan fardu yang mesti dilakukan semua kaum muslimin sepertimana yang dikehendaki daripada al-Quran dan as-Sunnah :

Firman Allah Taala :
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.
(Surah al-Hujurat : ayat 10)

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.
(Surah at-Taubah : ayat 71)

Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, Iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan Jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan Jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)".
(Surah an-Nisa’ : ayat 75)

Sabda Rasulullah SAW :
المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يخذله ولا يسلمه
Orang muslim itu saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak meninggalkan (dengan tidak membantunya)

KELEBIHAN JIHAD DENGAN HARTA

Aku memperingati diriku serta seluruh saudaraku dengan maksud umum ayat al-Quran dan hadis pada menyatakan kelebihan jihad, hubungan ukhuwwah dan penyaksian di jalan Allah Taala. Semua itu telah dimaklumkan (sepertimana di atas), -kepada Allah aku memuji. Di antara demikian itu ialah kelebihan jihad dengan harta. Maka sesungguhnya jihad dengan harta itu adalah daripada sebesar-besar pekerjaan yang mendekatkan diri kepada Allah serta jihad yang paling afdal pada setiap masa. Maka, bagaimana pula jika jihad itu demi kaum muslimin di Palestin!

Disebabkan betapa besarnya kedudukan jihad dengan harta, Allah Taala telah mendatangkan dalam al-Quran ayat-ayat berkenaan dengannya lebih banyak daripada ayat-ayat berkenaan jihad dengan jiwa raga ataupun nyawa.
Sepertimana firman Allah Taala :
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
(Surah at-Taubah : ayat 41)

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
(Surah at-Taubah : ayat 20)

10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? 11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).
(Surah as-Shof : ayat 10-11)

Sesungguhnya orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang Yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).
(Surah al-Hujurat : ayat 15)

Sesungguhnya sikap meninggalkan mereka dengan tidak memberi pertolongan atau tidak memperdulikan mereka dengan memberikan bantuan serta menghapuskan kezaliman dan penganiayaan ke atas mereka merupakan suatu dosa yang besar. Sikap ini menghapuskan peluang yang besar untuk menghancurkan cita-cita puak zionis Israel serta mendedahkan kaum muslimin dan bangsa Arab seluruhnya dengan bahaya kegelapan (kezaliman). Jika sekiranya orang muslimin pada hari ini tidak menggunakan peluang, maka mereka akan menyesal dengan kehilangan peluang itu hinggalah tibanya suatu tempoh yang ditetapkan oleh Allah Taala (hari pembalasan). Umat Islam kini telah kehilangan (sensitiviti dalam mempertahankan agama) serta sibuk dalam perkara-perkara yang melekakan dan tidak bermanfaat sehingga sampai ke tahap perkara jenayah pada hak umat dan permasalahannya.

DORONGAN MENGINFAKKAN HARTA PADA JALAN ALLAH TAALA

Sesungguhnya menghulurkan bantuan demi kemenangan perjuangan mereka dengan segala wasilah yang memungkinkan kejayaan tersebut adalah menjadi suatu kewajipan atas setiap muslim sepertimana yang telah disebutkan di atas serta termasuk dalam jihad di jalan Allah. Bantuan dan pertolongan itu juga merupakan suatu perkara yang dituntut sepertimana dalam firman Allah Taala :

dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).
(Surah al-Maidah : ayat 2)

Oleh hal yang demikian, gesaan dan seruan bagi kaum muslimin untuk melakukan sumbangan kepada saudara-saudara kita (di Palestin terutamanya) dengan perasaan murah hati adalah termasuk dalam perbuatan yang soleh.
ومن دل على خير فله مثل أجر فاعله
Barangsiapa yang menunjukkan kepada suatu kebaikan maka baginya pahala seperti orang yang melaksanakan kebaikan tersebut.

Hal ini adalah mencontohi Baginda Rasul SAW ketika Baginda menggesa para sahabatnya untuk berinfak di jalan Allah Taala serta memperlengkapkan para tentera Islam dalam peperangan Tabuk yang terdapat dalamnya dari kalangan tentera yang susah. Kisah ini masyhur dalam kitab soheh Bukhari dan Muslim, kitab-kitab sirah dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya menyampaikan sumbangan harta benda dan kelengkapan lain seperti senjata kepada mereka merupakan apa yang dituntut dalam sebuah hadis Rasulullah SAW :
من جهز غازياً في سبيل الله فقد غزا
Barangsiapa yang memperlengkapkan seorang pejuang di jalan Allah maka dia telah (seolah-olah ikut sama) berperang
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh hal yang demikian, menyediakan kelengkapan (wang, senjata dan lain-lain) kepada mujahidin merupakan pemberian yang cukup besar. Bahkan tindakan menyampaikan keperluan itu kepada mereka merupakan penyelamat kepada nyawa-nyawa kaum muslimin. Maka bersungguh-sungguhlah kaum muslimin dalam perkara tersebut dan berlumba-lumbalah dalam melaksanakannya! Sepertimana juga keadaan saudara-saudara kita dari warga Palestin yang berada di khemah-khemah perlarian di negara-negara jiran amat penting untuk kita berikan perhatian yang serius. Maka wajib ke atas para dai’ untuk memberikan hak yang sepatutnya ke atas mereka.
>bersambung..

**nantikan suatu artikel berkenaan kisah banduan paling kecil dalam penjara Israel. (Aisyah, 3 tahun)

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments