Walau Seketika Berkenalan Namun Selamanya Dikenang

Posted on Khamis, Mei 07, 2009

Bismillah..

Berjumpa dan berpisah itu lumrah kehidupan. Takdir Tuhan menetapkan segala-galanya. Manusia sebagai makhluk ditugaskan untuk memakmurkan bumi ini sebagai khalifah dengan beribadah kepadaNya. Di antara bentuk ibadah itu ialah menghubungkan tali persaudaraan sesama insan dengan niat mencari keredhaan Allah Taala. Begitu indahnya Islam itu dengan mengatur segala urusan manusia hatta dalam soal menjalinkan hubungan sesama makhluk. Semestinya manusia itu perlu berurusan dan bergantung sesama mereka kerana sunnatullah menciptakan mereka begitu. Tidak mungkin dia sanggup untuk hidup bersendirian kerana hidupnya perlu berteman.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan.. Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
-Surah al-Hujuraat : ayat 13.

HAKIKAT PENCIPTAAN DAN KEDUDUKAN SESAMA MANUSIA
Allah Taala menyatakan bahawa manusia itu diciptakanNya daripada seorang lelaki iaitu Adam AS. Kemudian diciptakan daripada Adam isterinya iaitu Hawa. Seterusnya dijadikan mereka itu berkembang biak hingga wujudnya pelbagai bangsa, kabilah atau puak-puak hinggalah seterusnya kepada dimensi kumpulan yang lebih kecil. Sebagaimana juga dijadikan Tuhan suatu keperluan kepada manusia untuk saling berkenal-kenalan sesama mereka. Maka hakikat kejadian manusia yang diciptakan asal usulnya dari tanah meletakkan kedudukan sesama mereka sama sahaja dari sudut kemanusiaan. Kemuliaan seseorang itu tidak melebihi seseorang yang lain kerana asal mereka dari insan yang sama iaitu Nabi Adam AS. Seterusnya dijelaskan dalam ayat tersebut kemuliaan manusia itu hanyalah dinilai dalam urusan agamanya iaitulah ketakwaan kepada Allah Taala. Hanya takwa menjadi arca penimbang atau batu pengukur kedudukan dan kemuliaan seseorang di sisiNya. Bukanlah darjat keturunan, rupa paras, pangkat jawatan atau harta kekayaan menjadi penilaiannya.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : "Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat (menilai) kepada rupa paras dan harta-harta kamu. Akan tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu (niat) dan amalan kamu."-Hadis riwayat Muslim.

Keluhuran rohani dan amalan yang soleh itulah yang membina unsur-unsur takwa dalam diri manusia. Sesungguhnya para anbia' dan solihin telah membina menara ketakwaan mereka kepada Tuhan sehinggakan mereka mencapai setinggi langit kemuliaan. Kecintaan kepada Allah dan Rasul melupakan mereka kepada keindahan dunia yang sementara. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan mereka di hari pembalasan kelak.

SURUHAN DALAM MENGHUBUNGKAN TALI PERSAUDARAAN
Sesungguhnya terdapat banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan ikatan persaudaraan. Selain ayat ke-13 dari surah al-Hujuraat di atas, firman Allah Taala :

Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
-Surah al-Hujuraat : ayat 10.

Sabda Rasulullah SAW :
“Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara”


Dan hadis yang lain berbunyi :
"Demi Tuhan yang diriku di dalam genggamanNya, kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak beriman (tidak sempurna iman) sehinggalah kamu saling kasih mengasihi..”


Orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara tidak kira apa bangsa, bahasa, dan warna mereka. Mereka melaksanakan segala tuntutan-tuntutan dalam bersaudara dan menjauhi segala apa sahaja yang boleh menghancurkan ikatan tersebut seperti perasaan hasad dengki, benci, dendam dan kianat. Ingatlah bahawa kita adalah hamba Allah Taala dan di antara sifat seorang hamba itu ialah mentaati segala suruhan Tuannya. Tidak akan tercapai ketaatan melainkan dengan cara saling bersaudara serta tolong-menolong dalam mendirikan tuntutan agama dan meninggikan syiarnya. Di samping itu, sewajibnya segala tuntutan dan hak-hak dalam persaudaraan itu dilaksanakan sepertimana yang disarankan dalam al-Quran dan Sunnah iaitulah di antaranya menyebarkan salam sesama mereka, mendoakan ketika bersin, menziarahi ketika sakit, menyempurnakan jemputan dan nasihat-menasihati. Selain itu, Rasulullah turut meyarankan kepada kita agar memberikan hadiah kepada sahabat kita untuk menambahkan kasih sayang dalam berukhuwwah.
“Berilah hadiah sesama kamu nescaya kamu saling berkasih sayang"

DASAR PERSAUDARAAN
Semestinya jalinan perhubungan sesama manusia itu tidak sama tahapnya. Perhubungan atas dasar kemanusiaan itu tidak sama nilainya dengan perhubungan yang dibina atas dasar keimanan. Orang-orang mukmin membina hubungan persaudaraan sesama mereka atas dasar keimanan sepertimana mafhum daripada surah al-hujuraat, ayat ke-10 di atas. Adapun perhubungan mereka dengan orang kafir adalah atas dasar kemanusiaan selagi orang kafir tersebut tidak menentang Islam. Ibarat konkrit yang menunjangi bangunan, begitulah perumpamaan ukhuwwah atas dasar keimanan. Tidak akan runtuh sebuah bangunan ukhuwwah selagi ia bertiangkan konkrit keimanan. Manisnya ukhuwwah akan tetap berkekalan kerana keredhaan Tuhan menjadi matlamat perhubungan. Manakala orang-orang yang kafir pula kasihnya kepada teman hanya bersifat sementara. Berpautnya hati-hati mereka dengan tali yang rapuh kerana keinginan dan keindahan dunia yang menjadi utama dalam perhubungan sesama mereka. Sedangkan dunia itu fana.

AKU DAN PERSAUDARAAN
Pada malam Isnin, 4 Mei yang lepas ana telah berpisah dengan seorang kenalan. Seseorang yang dipanggil Pak Cik Mat ini telah dikenali sejak dia sampai di bumi Mesir pada bulan Februari yang lalu. Dibawa seorang sahabat bernama Musa’b yang berasal dari Terengganu ke asrama Kedah Haiyu Asyir untuk mencari tempat penginapan. Setelah dikhabarkan bahawa pak cik ini hendak belajar bahasa Arab di markaz lughah di sini, ana pun membantu untuk menyediakan satu bilik penginapannya di asrama. Pada mulanya tidak kenal siapa, lalu dipanggil sahaja pak cik. Selepas bersembang panjang, barulah tahu pak cik ini adalah seorang pensyarah Pengajian Islam di kolej swasta di Kelantan. Datangnya ke sini untuk mengukuhkan penguasaan dalam bahasa Arab disebabkan terpaksa untuk menyampaikan kuliah di kolej tersebut dalam bahasa Arab. Terasa malu pulak sebab dah terlanjur panggil pak cik. Sepatutnya gelaran ustaz lebih layak baginya terlintas dalam hati masa itu. Cuba untuk memanggil dengan panggilan ustaz Mat, tapi dia menolak dan lebih selesa dipanggil sahaja Pak Cik Mat. Lebih mesra katanya.
Dipendekkan cerita, setelah hampir 2 bulan 4 hari Pak Cik Mat berada di sini, kadang-kadang kami berbual bersama, keluar berjalan bersama dan makan bersama. Rasanya macam ayah la pulak. Yalah, Pak Cik Mat pun dah ada 6 orang anak. 4 orang daripada anaknya dah pun bekerja manakala 2 lagi masih di sekolah menengah. Ada ketikanya kami berkongsi cerita tentang keluarga, saudara mara hatta binatang ternakan di kampung dan macam-macam lagi. Itulah di antara kelebihan bila berada bersama orang-orang yang lebih tua dan berpengalaman dari kita. Adakalanya kita dinasihati dan ditegur oleh mereka yang telah lama melalui ranjau kehidupan ini sebagai pedoman buat kita.
Hinggalah pada minggu lepas, Pak Cik Mat memaklumkan kepada ana keinginannya untuk pulang ke tanah air. Jadual penerbangan yang sepatutnya pada 25 Mei 2009 ditukar kepada 5 Mei 2009 selepas mendapat berita anaknya yang mengalami kemalangan di Malaysia.
Hubungan persaudaraan ini walaupun seketika, tapi memberikan seribu kenangan dan pengalaman. Begitulah perhubungan persaudaraan atas dasar keimanan. Persaudaraan yang tidak kenal erti pangkat umur. Semoga berjumpa lagi Pak Cik Mat @ Ustaz Mahamat di Kelantan nanti. InsyaAllah.

[4 Mei 2009 - Bergambar sebelum Pak Cik Mat pulang ke Malaysia]
(Pak Cik Mat berkot hitam)

SAHABAT..
Semoga perjalanan diberi hidayah..

Hati disemai rahmah..
Kehidupan dilimpahi barakah..

Perjuangan dipasak istiqamah..
Hubungan dipupuk ukhuwah..
"YA ALLAH, KEPADAMU KAMI MENYERAH PASRAH"

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments

One Response to "Walau Seketika Berkenalan Namun Selamanya Dikenang"

  1. Collection on Jumaat, Ogos 18, 2017 3:54:00 PG

    Salam 'ala-i-kom.
    Spread Islam all over the world. read hadith such Sahih al boukhâri en français to learn sunnah