Akan Kukirimkan 'Senjata' Buat Saudara-saudaraku Di Bumi al-Quds

Posted on Sabtu, Januari 23, 2010
Filed under ,

http://www.alqassam.ps
Bismillah..

Wahai Saudara-saudaraku di Palestin
Begitu terhirisnya hatiku. Lukanya tidak dapat digambarkan. Darah-darah luka itu telah mengalir membasahi segenap hatiku. Mengalirnya air mata kerana tidak mampu menahan rasa di dalamnya. Adakalanya diri tidak sedar titisan air mata telah jatuh bercucuran menimpa bumi. Namun, ubat apakah yang mampu melegakan kelukaan ini?. Luka yang menyebabkan seluruh tubuhku turut menderita kerananya. Lantas menjadikan perasaan tidak keruan. Yakinlah aku, ini bukan luka biasa. Luka perasaan bukan luka zahir badan. Begitulah perasaan sedih, simpati dan kasihanku kepada saudara-saudaraku. Aduhai, saudara-saudaraku kaum muslimin di Palestin, Adakah dunia tidak merasai penderitaanmu? Pekakkah telinga-telinga mereka yang mempunyai jiwa insani dari mendengar rintihanmu? Butakah mata-mata mereka dari melihat kesusahanmu?. Bersabarlah saudara-saudaraku dari ujian ini. Musuh-musuh kita telah membantai kamu dengan begitu kejam. Menzalimi kamu kamu dengan sejahat-jahat kezaliman. Sedangkan aku tidak berdaya membantumu. Hanya mampu mendengar rintihan dan melihat penderitaanmu dari jauh. Situasi ini telah menyeksa diriku. Andai kata aku diberikan sejuta kekuatan, akan aku perjuangkan nasibmu. Bersabarlah saudara-saudaraku, akan aku kirimkan 'senjata' buat kalian. Senjata yang bisa membantu kamu dalam medan pertempuan.

Sabda Rasulullah saw :"Doa adalah senjata bagi orang mukmin"

Kanak-kanak perempuan Palestin menceritakan kehidupannya yang menyedihkan akibat serangan Israel
-------------------------------------------------------------------------------------------------
>>Ana menulis muqadimah di atas sebelum menyambung berkenaan isu pembinaan tembok di sempadan Palestin-Mesir oleh Kerajaan Mesir. Isu ini mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya golongan ulama' al-Azhar dan ulama' sedunia. Ikuti pandangan isu tersebut melalui link di bawah :
Fatwa Syeikh Yusuf al-Qardawi
Jabhah Ulama' al-Azhar
Ikhwan Muslimin

Alasan Yang Dangkal
Pada awal bulan Disember tahun lepas, media Israel telah mendedahkan berkaitan pembinaan tembok bawah tanah di sempadan Mesir dan Gaza yang didirikan oleh kerajaan Mesir. Pembinaan ini adalah bertujuan bagi menyekat kerja-kerja penyeludupan senjata dan barangan runcit ke bumi terpenjara itu yang telah berlaku sejak lebih dari 3 tahun yang lalu. Bagi pejuang-pejuang kemerdekaan rakyat Palestin, mereka menafsirkan bahawa tindakan kerajaan Mesir tersebut adalah sebagai hukuman kepada Pergerakan Hamas yang menguasai bumi Gaza kerana mereka menolak untuk menandatangani dokumen perjanjian damai Palestin dan menentang kemasukan perantara German dalam butiran persetujuan menukar tawanan dengan Israel. Tambahan pula, pembinaan tembok tersebut telah mendapat pembiayaan daripada pihak Amerika Syarikat.

Akan tetapi, kerajaan Mesir menafikan dakwaan tersebut dengan ucapan daripada jurucakap bagi pihak kementerian Luar Negara Mesir, Hisam Zaki yang mengatakan dalam dokumen penjelasan yang dikeluarkan oleh surat khabar Mesir pada 23 Disember 2009 : "Sesungguhnya tindakan yang dilaksanakan oleh Mesir di dalam negaranya; samada kerja-kerja pembinaan atau arkitektual di dalam sempadannya bersama wilayah Gaza adalah perkara yang berkaitan dengan kepentingan Mesir dan keamanan warganegaranya, dan tidak bertujuan kepada sebarang tindakan hukuman sepertimana yang didakwa sesetengah pihak, serta tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan usaha pendamaian Mesir di antara Penguasa Palestin dan Pergerakan Hamas."

Pemenjaraan Terhadap Umat Islam
Sesungguhnya Mesir mempunyai kebebasan. Baginya hak untuk mentadbir negaranya akan tetapi dia tidak mempunyai hak dalam membantu pembunuhan saudara-saudaranya dari kalangan warga Palestin di wilayah Gaza. Tindakan mereka jelas bertentangan dengan semangat perkauman Arab, hubungan ukhuwah Islamiah dan juga hubungan kemanusiaan dengan warga Palestin. Pembinaan tembok itu ibarat melengkapi 'penjara' yang dibina oleh Israel untuk warga Palestin. Sedangkan puak Yahudi selamanya akan terus memerangi kaum muslimin hingga ke akhir usia dunia.

Dr. Farid Wasil, bekas mufti Mesir memfatwakan haram pembinaan tembok tersebut dengan mengibaratkan ia sebagai 'satu bentuk pengepungan atau pemenjaraan terhadap warga Palestin'. Beliau juga menegaskan bahawa negara-negara Islam Arab adalah bertanggungjawab menyokong bangsa tersebut yang mempertahankan tanah air dan masjid al-Aqsa daripada bangsa zalim yang melampau, Yahudi. Selain menekankan bahawa pengepungan warga Palestin adalah suatu perkara yang tidak direstui oleh syara' walau dalam apa keadaan sekalipun.

Dr. Muhammad Mukhtar al-Mahdi, anggota Lembaga Penyelidikan Islamiah berpendapat bahawa penentangan kerajaan Mesir terhadap negeri Gaza dan penduduknya walaupun pada dasarnya (menurut dakwaan mereka) berkaitan maslahah dalam memelihara keamanan Mesir, akan tetapi sekiranya tembok tersebut akan menyebabkan kepada pengepungan terhadap penduduk-penduduk Gaza, maka pembinaan tembok di sini adalah ditentang dan ditolak sama sekali.

"Walaupun terdapat sebahagian yang menolak bahawa warga di Gaza mempertahankan keamanan rakyat Mesir, akan tetapi inilah hakikatnya, kerana dengan penentangan mereka terhadap Israel, akan melemahkan penaklukan Yahudi daripada merebak hingga ke Mesir. Maka, menjadi kewajipan ke atas kita untuk menyediakan segala jalan bagi menyokong dan menegakkan kepentingan mereka dengan pelbagai cara dan kaedah."

Pandangan-pandangan ini selari dengan penjelasan yang dikeluarkan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi, Ketua Pertubuhan Ulama' Sedunia pada 27 Disember 2009 dengan memfatwakan bahawa pembinaan tembok sempadan yang didirikan oleh Mesir di sepanjang sempadannya dengan Gaza adalah termasuk dalam perkara yang haram dari segi syara', dan beliau menyeru kepada seluruh warga Mesir agar mendesak kerajaan menilai semula 'jenayah' tersebut, di samping menyebut bahawa negara Mesir yang pernah menempuhi empat peperangan kerana maslahah negara Palestin, adalah menjadi suatu kewajipan ke atas mereka tidak melakukan sesuatu yang jelas memerangi penduduk Palestin.

Sedarlah Wahai Umat Islam
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujurat, ayat ke-10)
Sabda Rasulullah saw : "Seorang muslim itu saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya, tidak menyerahkannya kepada pihak musuh dan tidak meninggalkannya dengan tanpa bantuan."

Sabda Baginda saw lagi :"Bantulah saudara kamu yang zalim(dengan cara menasihati dan memperbaiki kesilapannya) atau dizalimi"

-Baginda Rasul saw tidak mengatakan : Penjaralah saudara kamu, biarkan dia lapar, tindaslah mereka untuk kepentingan musuh kamu..
~Di manakah tanda kasih kamu kepada Rasulullah saw sedangkan kamu terang-terangan melanggar suruhan dan saranan Baginda saw. sedangkan kepada Baginda saw sahaja akan kamu berharap dan bergantung syafaatnya ketikamana kamu dihadapkan di hadapan Allah di padang mahsyar nanti. Ketika amalan kamu dihisab; kebaikan dibalas nikmat manakala kejahatan dibalas azab..

"Ya Allah, bantulah saudara-saudaraku di bumi Palestin"

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments