Bersedialah ke Medan Peperangan

Posted on Ahad, Mei 03, 2009

Bismillah..
Semboyan itu telah berbunyi. Jelas kedengaran sesiapa sahaja walau sayup jauh sekalipun dia berada. Semakin hari semakin kuat bunyinya. Kerana ia semakin hampir mendekati. Memberi amaran kepada bala tentera supaya bersiap sedia. Mengejutkan sesiapa sahaja yang sedang diulit mimpi nan indah di alam maya. Menyentak sanubari prajurit-prajurit yang masih dalam mabuk alpa. Mengukuhkan langkah mereka yang telah siap siaga berada di medan pertempuran. Masing-masing sibuk dengan persediaan bagi menempuh suatu pertempuran sengit yang bakal berlaku. Samada kalah atau menang, mati atau hidup, berada di persimpangan itu. Persimpangan pertempuran itu yang menguji kekuatan, kelengkapan dan kesediaan pejuang-pejuang ilmu. Mereka menempuh medan itu berpedangkan pena. Melawan musuh dengan kuasa ilmu. Di tubuh-tubuh mereka terletaknya perisai doa. Minda mereka disuntik dengan penawar harapan dan tujuan. Segala fasiliti ini akan terangkum membina kekuatan, kelengkapan dan kesediaan untuk mereka berperang. Hanya usaha yang menentukan keputusan selain ketentuan Tuhan yang menetapkan segala-galanya.

Namun, berjayakah mereka menempuh medan pertempuran imtihan? Ya, hamparan kertas-kertas jawapan itu akan menjadi saksi samada berjaya atau gagal, menang atau kalah mereka. Dakwat biru yang mengalir dari pedang pena menjadi bukti tenaga usaha yang telah mereka berikan. Siapa yang lemah, kurang kelengkapan dan tidak bersedia sedayanya, maka mereka akan rebah kecundang di akhir peperangan. Baginya musuh itu terlalu gagah untuk dihadapi. Semata-mata kuatnya pedang dan senjata tidak menjamin kejayaan mereka. Bahkan mereka memerlukan kekuatan yang datangnya dari minda dan juga jiwa. Selebihnya hanya Tuhan yang menentukan berkat dari doa dan harapan.

"Ya Allah, berikan aku dan sahabat-sahabatku kejayaan dalam imtihan"

Firman Allah Taala :
"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk)"
-Surah al-'Alaq, ayat 1


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Comments