Manisnya Nikmat Berada Dalam Halaqah Ilmiah & Ukhuwah

Posted on Jumaat, Februari 12, 2010
| 1 Comment

Bismillah..

Sudah seminggu berlalu selepas tamat imtihan penggal pertama. Kini ana dalam fatrah 'cuti-cuti Mesir' selama 2 minggu. Namun, bukan suatu alasan untuk duduk berehat dan bergoyang kaki pada masa sekarang. Perlu untuk mentanzim waktu dengan baik. Mengaji, berpesatuan, dan melengkapkan keperluan diri. Dalam detik-detik masa 24 jam yang tidak henti-henti bergerak. Seringkali meninggalkan diri ini terpinga-pinga mencari jalan.

Firman Allah Taala :
Demi Masa!(2)Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (3)Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar
(Surah Al-'Asr : ayat 1 -3)

Usrah Sebagai Medan Ilmiah dan Ukhuwah
Setelah sebulan tidak dapat menjalani halaqah usrah kerana fatrah imtihan, begitu terasa kekurangan pengisian diri ini. Rindu untuk berada dalam majlis ilmu, ukhuwah dan zikrillah ini. Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang mulia ini dapat semula menjalani usrah bersama sahabat-sahabat yang lain. Selepas solat Maghrib, ana dan tiga orang sahabat lagi berkumpul di tingkat 7, Asrama Kedah (sementara), Haiyu Sabiek bagi melaksanakan tanggungjawab mingguan kami. Mudahan aktiviti sebegini menepati suruhan Allah Taala dan sunnah Rasulullah saw yang menyarankan agar kita saling mengeratkan ukhuwah, nasihat-menasihati kepada kebaikan, menyampaikan ilmu serta beramal dalam ajaranNya.

Berbeza dengan sebelum ini, halaqah usrah kali ini lebih tertumpu kepada aktiviti jamuan. Sekadar permulaan untuk mengumpulkan semula ahli-ahli usrah bagi menggerakkan agenda selepas ini. Selepas tadarus al-Quran, tazkirah berkenaan hadis ke-19 daripada Kitab Wafi Syarah Matan Arbaieh Nawawi, dan perbentangan isu semasa, kami bersama-sama menjamu selera dengan juadah istimewa, piza ayam yang dibeli sebelumnya. Selalunya agenda usrah akan berlangsung dengan aktiviti tadarus ayat suci al-Quran, perbentangan tafsir al-Quran berdasarkan Kitab Ayatul Ahkam, perbentangan hadis berdasarkan kitab Wafi Syarah Arbaein Nawawi, perbentangan sirah berdasarkan Kitab Fikh Sirah, perbentangan isu-isu semasa, dan muhasabah. Manhaj-manhaj ini telah ditetapkan oleh Lajnah Nuqaba', Badan Dakwah Majils Kebajikan Keluarga Kedah bagi peringkat kedua. Masing-masing diberi peluang untuk menyampaikan ilmu dan pandangan berdasarkan apa yang telah dipelajari. Senda gurau dan gelak ketawa yang terselit sepanjang perjalanan usrah menjadikannya begitu menyeronokkan. Umpama garam dalam makanan yang menyedapkannya. Tanpanya tetap terisi dan mengeyangkan, tetapi terasa tawar dan hambar.

Alhamdulillah, di antara perancangan penting dalam halaqah kali ini adalah kami merancang untuk menterjemahkan sebuah kitab kecil karangan Dr. Umar Abdullah Kamil dan mengeluarkan risalah usrah kami secara mingguan. InsyaAllah, perancangan ini akan bermula pada minggu depan. Mudahan berhasil dengan keberkatan halaqah sebegini.

bersambung..
-------------------------------------------------------------------------------------------------
selepas ini :
>Mengapa Perlu Kepada Usrah?
>Usrah Adalah Instrumen
Yang Penting Kepada Pergerakan Harakah Islam
>Pandangan Negatif Kepada Usrah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Akan Kukirimkan 'Senjata' Buat Saudara-saudaraku Di Bumi al-Quds

Posted on Sabtu, Januari 23, 2010
Filed under , | Leave a Comment

http://www.alqassam.ps
Bismillah..

Wahai Saudara-saudaraku di Palestin
Begitu terhirisnya hatiku. Lukanya tidak dapat digambarkan. Darah-darah luka itu telah mengalir membasahi segenap hatiku. Mengalirnya air mata kerana tidak mampu menahan rasa di dalamnya. Adakalanya diri tidak sedar titisan air mata telah jatuh bercucuran menimpa bumi. Namun, ubat apakah yang mampu melegakan kelukaan ini?. Luka yang menyebabkan seluruh tubuhku turut menderita kerananya. Lantas menjadikan perasaan tidak keruan. Yakinlah aku, ini bukan luka biasa. Luka perasaan bukan luka zahir badan. Begitulah perasaan sedih, simpati dan kasihanku kepada saudara-saudaraku. Aduhai, saudara-saudaraku kaum muslimin di Palestin, Adakah dunia tidak merasai penderitaanmu? Pekakkah telinga-telinga mereka yang mempunyai jiwa insani dari mendengar rintihanmu? Butakah mata-mata mereka dari melihat kesusahanmu?. Bersabarlah saudara-saudaraku dari ujian ini. Musuh-musuh kita telah membantai kamu dengan begitu kejam. Menzalimi kamu kamu dengan sejahat-jahat kezaliman. Sedangkan aku tidak berdaya membantumu. Hanya mampu mendengar rintihan dan melihat penderitaanmu dari jauh. Situasi ini telah menyeksa diriku. Andai kata aku diberikan sejuta kekuatan, akan aku perjuangkan nasibmu. Bersabarlah saudara-saudaraku, akan aku kirimkan 'senjata' buat kalian. Senjata yang bisa membantu kamu dalam medan pertempuan.

Sabda Rasulullah saw :"Doa adalah senjata bagi orang mukmin"

Kanak-kanak perempuan Palestin menceritakan kehidupannya yang menyedihkan akibat serangan Israel
-------------------------------------------------------------------------------------------------
>>Ana menulis muqadimah di atas sebelum menyambung berkenaan isu pembinaan tembok di sempadan Palestin-Mesir oleh Kerajaan Mesir. Isu ini mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya golongan ulama' al-Azhar dan ulama' sedunia. Ikuti pandangan isu tersebut melalui link di bawah :
Fatwa Syeikh Yusuf al-Qardawi
Jabhah Ulama' al-Azhar
Ikhwan Muslimin

Alasan Yang Dangkal
Pada awal bulan Disember tahun lepas, media Israel telah mendedahkan berkaitan pembinaan tembok bawah tanah di sempadan Mesir dan Gaza yang didirikan oleh kerajaan Mesir. Pembinaan ini adalah bertujuan bagi menyekat kerja-kerja penyeludupan senjata dan barangan runcit ke bumi terpenjara itu yang telah berlaku sejak lebih dari 3 tahun yang lalu. Bagi pejuang-pejuang kemerdekaan rakyat Palestin, mereka menafsirkan bahawa tindakan kerajaan Mesir tersebut adalah sebagai hukuman kepada Pergerakan Hamas yang menguasai bumi Gaza kerana mereka menolak untuk menandatangani dokumen perjanjian damai Palestin dan menentang kemasukan perantara German dalam butiran persetujuan menukar tawanan dengan Israel. Tambahan pula, pembinaan tembok tersebut telah mendapat pembiayaan daripada pihak Amerika Syarikat.

Akan tetapi, kerajaan Mesir menafikan dakwaan tersebut dengan ucapan daripada jurucakap bagi pihak kementerian Luar Negara Mesir, Hisam Zaki yang mengatakan dalam dokumen penjelasan yang dikeluarkan oleh surat khabar Mesir pada 23 Disember 2009 : "Sesungguhnya tindakan yang dilaksanakan oleh Mesir di dalam negaranya; samada kerja-kerja pembinaan atau arkitektual di dalam sempadannya bersama wilayah Gaza adalah perkara yang berkaitan dengan kepentingan Mesir dan keamanan warganegaranya, dan tidak bertujuan kepada sebarang tindakan hukuman sepertimana yang didakwa sesetengah pihak, serta tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan usaha pendamaian Mesir di antara Penguasa Palestin dan Pergerakan Hamas."

Pemenjaraan Terhadap Umat Islam
Sesungguhnya Mesir mempunyai kebebasan. Baginya hak untuk mentadbir negaranya akan tetapi dia tidak mempunyai hak dalam membantu pembunuhan saudara-saudaranya dari kalangan warga Palestin di wilayah Gaza. Tindakan mereka jelas bertentangan dengan semangat perkauman Arab, hubungan ukhuwah Islamiah dan juga hubungan kemanusiaan dengan warga Palestin. Pembinaan tembok itu ibarat melengkapi 'penjara' yang dibina oleh Israel untuk warga Palestin. Sedangkan puak Yahudi selamanya akan terus memerangi kaum muslimin hingga ke akhir usia dunia.

Dr. Farid Wasil, bekas mufti Mesir memfatwakan haram pembinaan tembok tersebut dengan mengibaratkan ia sebagai 'satu bentuk pengepungan atau pemenjaraan terhadap warga Palestin'. Beliau juga menegaskan bahawa negara-negara Islam Arab adalah bertanggungjawab menyokong bangsa tersebut yang mempertahankan tanah air dan masjid al-Aqsa daripada bangsa zalim yang melampau, Yahudi. Selain menekankan bahawa pengepungan warga Palestin adalah suatu perkara yang tidak direstui oleh syara' walau dalam apa keadaan sekalipun.

Dr. Muhammad Mukhtar al-Mahdi, anggota Lembaga Penyelidikan Islamiah berpendapat bahawa penentangan kerajaan Mesir terhadap negeri Gaza dan penduduknya walaupun pada dasarnya (menurut dakwaan mereka) berkaitan maslahah dalam memelihara keamanan Mesir, akan tetapi sekiranya tembok tersebut akan menyebabkan kepada pengepungan terhadap penduduk-penduduk Gaza, maka pembinaan tembok di sini adalah ditentang dan ditolak sama sekali.

"Walaupun terdapat sebahagian yang menolak bahawa warga di Gaza mempertahankan keamanan rakyat Mesir, akan tetapi inilah hakikatnya, kerana dengan penentangan mereka terhadap Israel, akan melemahkan penaklukan Yahudi daripada merebak hingga ke Mesir. Maka, menjadi kewajipan ke atas kita untuk menyediakan segala jalan bagi menyokong dan menegakkan kepentingan mereka dengan pelbagai cara dan kaedah."

Pandangan-pandangan ini selari dengan penjelasan yang dikeluarkan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi, Ketua Pertubuhan Ulama' Sedunia pada 27 Disember 2009 dengan memfatwakan bahawa pembinaan tembok sempadan yang didirikan oleh Mesir di sepanjang sempadannya dengan Gaza adalah termasuk dalam perkara yang haram dari segi syara', dan beliau menyeru kepada seluruh warga Mesir agar mendesak kerajaan menilai semula 'jenayah' tersebut, di samping menyebut bahawa negara Mesir yang pernah menempuhi empat peperangan kerana maslahah negara Palestin, adalah menjadi suatu kewajipan ke atas mereka tidak melakukan sesuatu yang jelas memerangi penduduk Palestin.

Sedarlah Wahai Umat Islam
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujurat, ayat ke-10)
Sabda Rasulullah saw : "Seorang muslim itu saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya, tidak menyerahkannya kepada pihak musuh dan tidak meninggalkannya dengan tanpa bantuan."

Sabda Baginda saw lagi :"Bantulah saudara kamu yang zalim(dengan cara menasihati dan memperbaiki kesilapannya) atau dizalimi"

-Baginda Rasul saw tidak mengatakan : Penjaralah saudara kamu, biarkan dia lapar, tindaslah mereka untuk kepentingan musuh kamu..
~Di manakah tanda kasih kamu kepada Rasulullah saw sedangkan kamu terang-terangan melanggar suruhan dan saranan Baginda saw. sedangkan kepada Baginda saw sahaja akan kamu berharap dan bergantung syafaatnya ketikamana kamu dihadapkan di hadapan Allah di padang mahsyar nanti. Ketika amalan kamu dihisab; kebaikan dibalas nikmat manakala kejahatan dibalas azab..

"Ya Allah, bantulah saudara-saudaraku di bumi Palestin"

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Bingkisan Bicara Buat Penuntut Ilmu Sempena Imtihan

Posted on Sabtu, Januari 16, 2010
| Leave a Comment

Bismillah..

'Panas' imtihan sudah terasa. Peperiksaan penggal pertama sesi 2009/2010 bagi mahasiswa/wi Universiti al-Azhar telah bermula pada hari ini, 16/1/2010. (Rujuk laman web al-Azhar berkaitan pengumuman tarikh peperiksaan : [link].)

Semestinya masing-masing sibuk dengan persediaan terakhir sebelum menjejakkan kaki ke dewan peperiksaan ketika ini. Nota dan buku-buku kuliah bagaikan tidak boleh dipisahkan dari genggaman. Terasa amat ruginya masa-masa yang berlalu walau sedetik dalam fatrah imtihan. Sunyi komputer dan laptop masing-masing dari filem-filem. Qiamullail, zikir, doa dan amalan-amalan ibadah dilipatgandakan. Ya Allah, semuanya menjadi ahli suffah di bulan ini. Alhamdulillah, para malaikat semestinya bergembira menghamparkan sayapnya menaungi mereka-mereka yang menuntut ilmu.

Ujian dalam Hidup Manusia
Sejarah manusia menyaksikan, sejak Nabi Adam 'alaihissalam, manusia telah diuji oleh Allah Taala. Mereka diuji keimanan mereka dalam menempuh kehidupan. Samada kebenaran atau kebatilan menjadi pilihan. Ujian adalah saksi kepada kasih Tuhan kepada makhlukNya. Peringatan agar mereka sentiasa dalam rahmatNya. Benarkah mereka dalam keimanan dan ketakwaan kepadaNya atau kepalsuan yang dibalut dengan amal kebaikan. Ianya akan terbukti melalui natijah yang terhasil daripada amalan mereka ketika menghadapi ujian tersebut. Bahagialah para rasul, anbia' dan golongan solihin kerana mereka telah berjaya dalam mengharungi ujian dari 'Kekasih Agung' mereka, Allah Taala.
Firman Allah Taala :
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
[al-Ankabuut : ayat ke 2-3]

>Pelbagai bentuk ujian diberikan kepada manusia samada berbentuk kesusahan & keperitan untuk melihat adakah mereka bersabar atau berputus asa.
Firman Allah Taala :
Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.
[Muhammad : ayat 31]

>Ujian berbentuk nikmat kesenangan dan kemudahan duniawi untuk melihat adakah mereka bersyukur dengan nikmat tersebut atau tenggelam mereka dalam kealpaan dan kemaksiatan.

>Ujian berbentuk suruhan & larangan dalam syariat untuk melihat adakah mereka taat atau ingkar.
Firman Allah Taala :
Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
[al-Anfaal : ayat 24]

>Ujian berbentuk nafsu syahwah dan keinginan yang Allah Taala berikan kepada manusia terhadap wanita, anak-anak dan harta benda. Justeru, diuji adakah mereka lalai dan terjebak dalan kemaksiatan dengan pemberian tersebut atau mereka bersyukur dan bertambah keimanan dan ketakwan mereka kepadaNya.
Firman Allah Taala :
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
[at-Taghabun : ayat 15]

>Di antara ujian yang besar ditimpakan kepada manusia ialah syubuhat yang ditiup oleh syaitan ke jiwa manusia untuk meragu-ragukan mereka dalam agama. Justeru, diuji mereka adakah tetap teguh mereka dalam berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah atau berpaling kepada undang-undang ciptaan manusia.
Firman Allah Taala :
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
[an-Nisa' : ayat 65]

Mudahan kita tergolong di kalangan mereka yang berjaya dalam mengharungi ujian-ujian ini bersama golongan solihin. Selagimana tetap teguh dalam ajaran Tuhan, selari bersama sunnah Rasulullah.

Imtihan Suatu Penilaian Tahap Ilmu
Peperiksaan adalah medan untuk menilai setakat mana ingatan kepada ilmu yang telah dipelajari. Ilmu adalah penyuluh kepada kehidupan manusia. 'Cahaya Allah' tidak akan menyuluh jalan kebenaran kepada golongan yang melakukan maksiat dan berterusan dalamnya. Salah faham kepada peranan peperiksaan banyak mengelirukan penuntut-penuntut ilmu. Mereka belajar semata-mata untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berjaya dalam peperiksaan adalah lambang kejayaan sebenar bagi mereka. Slogan mereka adalah "Belajar untuk Berjaya dalam Imtihan". Tidak sedikit mereka yang berputus asa apabila gagal dalam peperiksaan. Lalu dipilih jalan penyelesaian yang keji atas perasaan putus asa mereka. Menyalahkan Tuhan, guru, rakan-rakan, nota-nota pelajaran atau sebagainya. Bahkan hingga sanggup untuk membunuh diri kerana telah tiada harapan untuk hidup bagi mereka. Mereka ini telah gagal dalam kegagalan. Bertimpa-timpa kegagalan dihadapi oleh mereka. Inilah manifestasi dari niat yang salah dalam menuntut ilmu.

Ayuh, ana mengajak diri hina ini dan sahabat-sahabat supaya kita kembali kepada niat sebenar dalam menuntut ilmu. Bersama kita gigih dalam menuntut ilmu demi menegakkan agama dalam diri dan masyarakat kita. Memimpin jiwa-jiwa manusia daripada bergantung kepada duniawi kepada Tuhan Yang Maha Pencipta. InsyaAllah, dengan niat yang suci dan amalan yang berterusan, kita akan diberikan kejayaan dalam segala ujian yang dihadapi. Penuntut ilmu yang benar niatnya akan berterusan belajar tidak mengira masa ketika hampir peperiksaan atau tidak. Peranan mereka begitu besar untuk memberikan inzar dan pengajaran kepada masyarakat.

Firman Allah Taala :
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
[at-Taubah : ayat 122]

Berdoalah Wahai Penuntut-penuntut Ilmu
Senjata paling tajam yang bisa membunuh musuh-musuh ialah doa hamba yang soleh. Iltizam dengan doa adalah di antara alamat kejayaan seseorang hamba. Contoh taulan teragung, Baginda Rasulullah saw sentiasa menadah tangan memohon doa kepada Kekasihnya. Diangkat darjat Baginda ke tingkat tertinggi kerana pergantungan yang tinggi Baginda kepada Rabul Jalil.
Firman Allah Taala :
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
[Ghafir : ayat 60]
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
[al-Baqarah : ayat 186]
-----------------------------------------------------------------------------------------------
>>Ana doakan kita semua dianugerahkan kejayaan dalam imtihan kali ini dan seterusnya dalam kehidupan di dunia serta akhirat oleh Allah Taala. KepadaNya semata kita mengharap dan memohon pertolongan. Bittaufiq wan najah..

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ini Langkahku

Posted on Jumaat, Januari 15, 2010
| 1 Comment

Bismillah..

Manusia seringkali melakukan kesilapan. Perancangan kehidupannya seringkali tergelungsur dari landasan kebenaran. Digelar manusia kerana seringkali alpa dan lupa. Namun dikurnia Tuhan akal fikiran agar kembali ke singgahsana makhluk yang mulia. Bila mereka beriman kepada Allah Yang Maha Esa dan beramal soleh dalam landasan Islam..

Firman Allah Taala :
4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya).
5. Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan Dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang Yang rendah,

6. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala Yang tidak putus-putus.
(Surah at-Tiin; ayat ke 4 hingga 6)

Setelah 7 bulan tidak mengupdated entry blog ini, ana ingin memulakan langkah baru. Memastikan selepas ini agar hamba lemah ini turut menyertai sahabat2 yang lain dalam lapangan dunia siber. Menjejakkan kaki menyelusuri landasan dakwah merentasi arus globalisasi. Berbekalkan semangat hubbu addin, dengan harapan langkah tidak kaku di tengah perjalanan.. InsyaAllah..

Ini langkahku
Aaa ... Terus melaju
Aaa ... Ini langkahku
Aaa ... Bangkitkan Jihad

Ini langkahku yang kan kuayun
Walaupun payah tak akan jera
Ini langkahku kan trus melaju
Setegar karang bangkitkan jihadku

Aral rintangan datang menghadang
Tapi surga di bawah kilatan pedang
Hancurkan kedzaliman
Tegakkan keadilan

Aaa ... Bangkitkan Jihad!

Pastikan langkahmu wahai pejuang
Dengan AI-Quran menjadi pedoman
Hembuskanlah angin pembaharuan
Karena kila khalifaturrahman

(Lirik lagu : Ini Langkahku; nyayian : Shoutul Harokah; album: Bangkitlah Negeriku)

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Walau Seketika Berkenalan Namun Selamanya Dikenang

Posted on Khamis, Mei 07, 2009
| Leave a Comment

Bismillah..

Berjumpa dan berpisah itu lumrah kehidupan. Takdir Tuhan menetapkan segala-galanya. Manusia sebagai makhluk ditugaskan untuk memakmurkan bumi ini sebagai khalifah dengan beribadah kepadaNya. Di antara bentuk ibadah itu ialah menghubungkan tali persaudaraan sesama insan dengan niat mencari keredhaan Allah Taala. Begitu indahnya Islam itu dengan mengatur segala urusan manusia hatta dalam soal menjalinkan hubungan sesama makhluk. Semestinya manusia itu perlu berurusan dan bergantung sesama mereka kerana sunnatullah menciptakan mereka begitu. Tidak mungkin dia sanggup untuk hidup bersendirian kerana hidupnya perlu berteman.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan.. Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
-Surah al-Hujuraat : ayat 13.

HAKIKAT PENCIPTAAN DAN KEDUDUKAN SESAMA MANUSIA
Allah Taala menyatakan bahawa manusia itu diciptakanNya daripada seorang lelaki iaitu Adam AS. Kemudian diciptakan daripada Adam isterinya iaitu Hawa. Seterusnya dijadikan mereka itu berkembang biak hingga wujudnya pelbagai bangsa, kabilah atau puak-puak hinggalah seterusnya kepada dimensi kumpulan yang lebih kecil. Sebagaimana juga dijadikan Tuhan suatu keperluan kepada manusia untuk saling berkenal-kenalan sesama mereka. Maka hakikat kejadian manusia yang diciptakan asal usulnya dari tanah meletakkan kedudukan sesama mereka sama sahaja dari sudut kemanusiaan. Kemuliaan seseorang itu tidak melebihi seseorang yang lain kerana asal mereka dari insan yang sama iaitu Nabi Adam AS. Seterusnya dijelaskan dalam ayat tersebut kemuliaan manusia itu hanyalah dinilai dalam urusan agamanya iaitulah ketakwaan kepada Allah Taala. Hanya takwa menjadi arca penimbang atau batu pengukur kedudukan dan kemuliaan seseorang di sisiNya. Bukanlah darjat keturunan, rupa paras, pangkat jawatan atau harta kekayaan menjadi penilaiannya.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : "Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat (menilai) kepada rupa paras dan harta-harta kamu. Akan tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu (niat) dan amalan kamu."-Hadis riwayat Muslim.

Keluhuran rohani dan amalan yang soleh itulah yang membina unsur-unsur takwa dalam diri manusia. Sesungguhnya para anbia' dan solihin telah membina menara ketakwaan mereka kepada Tuhan sehinggakan mereka mencapai setinggi langit kemuliaan. Kecintaan kepada Allah dan Rasul melupakan mereka kepada keindahan dunia yang sementara. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan mereka di hari pembalasan kelak.

SURUHAN DALAM MENGHUBUNGKAN TALI PERSAUDARAAN
Sesungguhnya terdapat banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan ikatan persaudaraan. Selain ayat ke-13 dari surah al-Hujuraat di atas, firman Allah Taala :

Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
-Surah al-Hujuraat : ayat 10.

Sabda Rasulullah SAW :
“Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara”


Dan hadis yang lain berbunyi :
"Demi Tuhan yang diriku di dalam genggamanNya, kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak beriman (tidak sempurna iman) sehinggalah kamu saling kasih mengasihi..”


Orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara tidak kira apa bangsa, bahasa, dan warna mereka. Mereka melaksanakan segala tuntutan-tuntutan dalam bersaudara dan menjauhi segala apa sahaja yang boleh menghancurkan ikatan tersebut seperti perasaan hasad dengki, benci, dendam dan kianat. Ingatlah bahawa kita adalah hamba Allah Taala dan di antara sifat seorang hamba itu ialah mentaati segala suruhan Tuannya. Tidak akan tercapai ketaatan melainkan dengan cara saling bersaudara serta tolong-menolong dalam mendirikan tuntutan agama dan meninggikan syiarnya. Di samping itu, sewajibnya segala tuntutan dan hak-hak dalam persaudaraan itu dilaksanakan sepertimana yang disarankan dalam al-Quran dan Sunnah iaitulah di antaranya menyebarkan salam sesama mereka, mendoakan ketika bersin, menziarahi ketika sakit, menyempurnakan jemputan dan nasihat-menasihati. Selain itu, Rasulullah turut meyarankan kepada kita agar memberikan hadiah kepada sahabat kita untuk menambahkan kasih sayang dalam berukhuwwah.
“Berilah hadiah sesama kamu nescaya kamu saling berkasih sayang"

DASAR PERSAUDARAAN
Semestinya jalinan perhubungan sesama manusia itu tidak sama tahapnya. Perhubungan atas dasar kemanusiaan itu tidak sama nilainya dengan perhubungan yang dibina atas dasar keimanan. Orang-orang mukmin membina hubungan persaudaraan sesama mereka atas dasar keimanan sepertimana mafhum daripada surah al-hujuraat, ayat ke-10 di atas. Adapun perhubungan mereka dengan orang kafir adalah atas dasar kemanusiaan selagi orang kafir tersebut tidak menentang Islam. Ibarat konkrit yang menunjangi bangunan, begitulah perumpamaan ukhuwwah atas dasar keimanan. Tidak akan runtuh sebuah bangunan ukhuwwah selagi ia bertiangkan konkrit keimanan. Manisnya ukhuwwah akan tetap berkekalan kerana keredhaan Tuhan menjadi matlamat perhubungan. Manakala orang-orang yang kafir pula kasihnya kepada teman hanya bersifat sementara. Berpautnya hati-hati mereka dengan tali yang rapuh kerana keinginan dan keindahan dunia yang menjadi utama dalam perhubungan sesama mereka. Sedangkan dunia itu fana.

AKU DAN PERSAUDARAAN
Pada malam Isnin, 4 Mei yang lepas ana telah berpisah dengan seorang kenalan. Seseorang yang dipanggil Pak Cik Mat ini telah dikenali sejak dia sampai di bumi Mesir pada bulan Februari yang lalu. Dibawa seorang sahabat bernama Musa’b yang berasal dari Terengganu ke asrama Kedah Haiyu Asyir untuk mencari tempat penginapan. Setelah dikhabarkan bahawa pak cik ini hendak belajar bahasa Arab di markaz lughah di sini, ana pun membantu untuk menyediakan satu bilik penginapannya di asrama. Pada mulanya tidak kenal siapa, lalu dipanggil sahaja pak cik. Selepas bersembang panjang, barulah tahu pak cik ini adalah seorang pensyarah Pengajian Islam di kolej swasta di Kelantan. Datangnya ke sini untuk mengukuhkan penguasaan dalam bahasa Arab disebabkan terpaksa untuk menyampaikan kuliah di kolej tersebut dalam bahasa Arab. Terasa malu pulak sebab dah terlanjur panggil pak cik. Sepatutnya gelaran ustaz lebih layak baginya terlintas dalam hati masa itu. Cuba untuk memanggil dengan panggilan ustaz Mat, tapi dia menolak dan lebih selesa dipanggil sahaja Pak Cik Mat. Lebih mesra katanya.
Dipendekkan cerita, setelah hampir 2 bulan 4 hari Pak Cik Mat berada di sini, kadang-kadang kami berbual bersama, keluar berjalan bersama dan makan bersama. Rasanya macam ayah la pulak. Yalah, Pak Cik Mat pun dah ada 6 orang anak. 4 orang daripada anaknya dah pun bekerja manakala 2 lagi masih di sekolah menengah. Ada ketikanya kami berkongsi cerita tentang keluarga, saudara mara hatta binatang ternakan di kampung dan macam-macam lagi. Itulah di antara kelebihan bila berada bersama orang-orang yang lebih tua dan berpengalaman dari kita. Adakalanya kita dinasihati dan ditegur oleh mereka yang telah lama melalui ranjau kehidupan ini sebagai pedoman buat kita.
Hinggalah pada minggu lepas, Pak Cik Mat memaklumkan kepada ana keinginannya untuk pulang ke tanah air. Jadual penerbangan yang sepatutnya pada 25 Mei 2009 ditukar kepada 5 Mei 2009 selepas mendapat berita anaknya yang mengalami kemalangan di Malaysia.
Hubungan persaudaraan ini walaupun seketika, tapi memberikan seribu kenangan dan pengalaman. Begitulah perhubungan persaudaraan atas dasar keimanan. Persaudaraan yang tidak kenal erti pangkat umur. Semoga berjumpa lagi Pak Cik Mat @ Ustaz Mahamat di Kelantan nanti. InsyaAllah.

[4 Mei 2009 - Bergambar sebelum Pak Cik Mat pulang ke Malaysia]
(Pak Cik Mat berkot hitam)

SAHABAT..
Semoga perjalanan diberi hidayah..

Hati disemai rahmah..
Kehidupan dilimpahi barakah..

Perjuangan dipasak istiqamah..
Hubungan dipupuk ukhuwah..
"YA ALLAH, KEPADAMU KAMI MENYERAH PASRAH"

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Bersedialah ke Medan Peperangan

Posted on Ahad, Mei 03, 2009
| Leave a Comment

Bismillah..
Semboyan itu telah berbunyi. Jelas kedengaran sesiapa sahaja walau sayup jauh sekalipun dia berada. Semakin hari semakin kuat bunyinya. Kerana ia semakin hampir mendekati. Memberi amaran kepada bala tentera supaya bersiap sedia. Mengejutkan sesiapa sahaja yang sedang diulit mimpi nan indah di alam maya. Menyentak sanubari prajurit-prajurit yang masih dalam mabuk alpa. Mengukuhkan langkah mereka yang telah siap siaga berada di medan pertempuran. Masing-masing sibuk dengan persediaan bagi menempuh suatu pertempuran sengit yang bakal berlaku. Samada kalah atau menang, mati atau hidup, berada di persimpangan itu. Persimpangan pertempuran itu yang menguji kekuatan, kelengkapan dan kesediaan pejuang-pejuang ilmu. Mereka menempuh medan itu berpedangkan pena. Melawan musuh dengan kuasa ilmu. Di tubuh-tubuh mereka terletaknya perisai doa. Minda mereka disuntik dengan penawar harapan dan tujuan. Segala fasiliti ini akan terangkum membina kekuatan, kelengkapan dan kesediaan untuk mereka berperang. Hanya usaha yang menentukan keputusan selain ketentuan Tuhan yang menetapkan segala-galanya.

Namun, berjayakah mereka menempuh medan pertempuran imtihan? Ya, hamparan kertas-kertas jawapan itu akan menjadi saksi samada berjaya atau gagal, menang atau kalah mereka. Dakwat biru yang mengalir dari pedang pena menjadi bukti tenaga usaha yang telah mereka berikan. Siapa yang lemah, kurang kelengkapan dan tidak bersedia sedayanya, maka mereka akan rebah kecundang di akhir peperangan. Baginya musuh itu terlalu gagah untuk dihadapi. Semata-mata kuatnya pedang dan senjata tidak menjamin kejayaan mereka. Bahkan mereka memerlukan kekuatan yang datangnya dari minda dan juga jiwa. Selebihnya hanya Tuhan yang menentukan berkat dari doa dan harapan.

"Ya Allah, berikan aku dan sahabat-sahabatku kejayaan dalam imtihan"

Firman Allah Taala :
"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk)"
-Surah al-'Alaq, ayat 1


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Sebulan Yang Meletihkan

Posted on Sabtu, Mei 02, 2009
| 1 Comment

Bismillah..

Alhamdulillah, hari ni dah masuk 2 Mei. Hampir 12 hari saja lagi ana akan menghadapi saat gentir imtihan. Tidak ada masa lagi bagi ana untuk bermain-main, berseronok-seronok, buang masa dan memangku diriba keselesaan. waktu di Mesir ni rasanya bergerak cepat sekali. Pejam celik rupanya sudah hampir 2 tahun 5 bulan kaki ana menjejak di bumi anbia' ini. Adakah keberkatan masa kian hilang dari insan hina ini?. Ya Tuhan, berikan kami kekuatan memenuhi masa dengan ibadah kepadaMu. Kalau diimbau balik masa-masa yang berlalu sepanjang ana berada di sini, banyak kenangan suka duka yang dilalui. Ada yang boleh dijadikan pedoman dan iktibar, bahkan tidak kurang juga yang hanya perlu dijadikan sempadan peringatan. Kesilapan lampau yang perlu diperbaiki jangan dibiar berulang sekali lagi. Teringat mafhum sabdaan kekasihku, Rasulullah SAW :"Tidak akan jatuh seorang mukmin ke dalam satu lubang dua kali" yang bermaksud bahawa seorang mukmin tidak sepatutnya melakukan suatu kesilapan atau kemaksiatan kali kedua setelah disedari dan diinsafi kesilapan tersebut. InsyaAllah, sedayanya cuba ana pastikan kesilapan itu tidak berulang lagi.

Bangun ana di pagi hari ini, bertanya dalam hati, Apakah tujuan Tuhan jadikan diriku?. Ke mana halatuju hidup ini?. Pertanyaan ini sepatutnya selalu bermain dalam minda seorang yang bergelar hamba. Agar tidak leka dan alpa dia dalam fatamorgana dunia. Begitulah kita sebagai manusia sering lupa. Oleh sebab itu, Tuhan utuskan kepada kita para utusanNya dari kalangan para rasul dan nabi bagi memperingati dan menunjukkan mereka ke jalan mustaqim. Manusia juga perlukan motivasi dan pembinaan kekuatan jiwa dalam melayari kehidupan. Hal ini kerana manusia itu diciptakan juga dari unsur spiritual atau ruhiah selain jasad jasmaniah yang menghiasi mata duniawi. Ana tinggalkan kata-kata ini untuk renungan.

[4/4/2009 : Muhasabah Nisfu Sanah]

Hari ini muncul semangat untuk menulis. Kadang-kadang malu nak buka laman blog sendiri. Sebabnya tak sempat nak update dan yang pastinya malas nak menaip. Curi-curi masa petang lepas solat Asar hari ini, ana rehat sekejap di meja komputer untuk menulis satu cerita bagi memuatkan entri blog ana ini. Cerita berkenaan peristiwa kehidupan sepanjang sebulan yang lalu. Sebulan yang meletihkan. Sebulan yang mengerah tenaga kudratku untuk diberikan. Sekadar sebuah catatan supaya tidak lupa dalam ingatan.

Yalah, setiap orang pasti ada tanggungjawabnya. Ada sahaja yang perlu kita lakukan, selesaikan dan laksanakan untuk memenuhi tuntutan tanggungjawab yang diamanahkan. Bahkan tanggungjawab kita yang paling utama ialah sebagai hamba kepada Rabbul Jalalah, Allah Subhanahu wa Taala. Ana sedar tanggungjawab ana dalam persatuan mahasiswa Kedah di Mesir sebenarnya cukup berat untuk ana laksanakan. Di samping tugas menuntut ilmu yang semestinya perlu ana tunaikan, di pundak ini terbeban satu tugas yang sungguh memenatkan. Sesi 2008/2009 bagi MKKK meletakkan ana sebagai setiausaha persatuan ini. Jawatan yang tidak pernah dipegang sebelum ini, bahkan tidak pernah mengimpikan untuk disandang telah diserahkan kepada ana. Apapun, tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan. Mana mungkin ana lari dari tanggungjawab itu. Bukan kerana menyesal, tetapi apa yang ingin ana lontarkan ialah menjelaskan betapa beratnya tanggungjawab kepimpinan. Hanya mereka yang benar-benar bersedia dan mampu melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dapat menanggung bebanan tersebut dengan baik. Jelaslah ana bukan dari kalangan tersebut.

[11- 12/4/2009 : Rehlah ke Mansurah]

Bermula dari 1 April yang lalu lagi jadual aktiviti atau tugas ana telah terisi. Semua perancangan kerja ana letakkan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan. Telah terbayang dalam pemikiran ana, rupanya bulan ini banyak juga aktiviti yang akan berlangsung. Walaupun fatrah imtihan bagi penuntut-penuntut Al-Azhar semakin hampir dan mereka masing-masing sibuk menelaah kitab, ana sedar tugas ana tidak ikut serta dalam rentak itu. Biarpun masa yang begitu mendesak tumpuan sepenuhnya kepada ulangkaji pelajaran, tanggungjawab dalam persatuan ini seringkali memaksa diri ana dan mengganggu rutin yang sepatutnya berlaku. Mudah-mudahan Tuhan permudahkan.

Senarai aktiviti yang telah berlangsung pada bulan April dan haribulan :
1. Mesyuarat bersama PMRAM - 1, 8 dan 16
2. Mesyuarat MKKK (AJK kecil) - 2 dan 13
3. Program Muhasabah Nisfu Sanah - 4
4. Majlis Penangguhan Kelas Pengajian - 6 dan 8
5. Ceramah motivasi - 15
6. Lawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah - 21 hingga 26

Aktiviti ini tak termasuk lagi kerja-kerja yang datangnya tidak diundang. Serabut otak jadinya memikirkan bagaimana untuk menyusun masa sepanjang bulan April lepas. Alhamdulillah segalanya telah berlalu. Akan tetapi perlaksanaannya secara lumrahnya memang ada lurah dan tompangnya. Mudah-mudahan hari esok adalah lebih baik daripada hari ini. Bulan hadapan lebih bersinar amalan daripada bulan yang lalu. InsyaAllah...
[25/4/2009 : Majlis Ramah Mesra bersama Exco Kerajaan Negeri]

Wasiat Saidina Ali Karamallahu Wajhah :
"Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin kepada manusia maka dia hendaklah mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum mengajar orang lain. Dan dia hendaklah memperelokkan setiap tindak tanduknya seharian sebelum memperelokkan dengan lidah. Dan sesiapa yang mengajar dirinya sendiri serta memperelokkannya lebih layak untuk mendapat kemuliaan daripada mereka yang mengajar dan memperelokkan manusia yang lain."

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 :
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati