Kelemahan itu JANGAN Melemahkanmu..

Posted on Ahad, Mac 22, 2009
Filed under | Leave a Comment

Bismillah..
Lama dah rasanya entri blog ni tak diupdated. Sibuk, tak ada masa, tak ada idea dan macam2 lagi alasan yang aku bagi bila ada sahabat2 yang menyindir dan menegur. Bilalah agaknya aku nak menghidupkan semula blog yang tercungap-cungap kelemasan dan diambang kematian ni. Kadang2 tu tersenyum sendirian. Lemahnya insan ini. Semangatnya telah lesu. Himmah dalam diri sudah menguncup layu. Ibaratnya seperti kuntum bunga yang kelayuan menunggu kering jatuh ke bumi.

Hmm.. aku teringat kata2 Imam As-Syahid Hasan Al-Banna yang berbunyi : "Tanggungjawab itu lebih banyak dari masa". Benar sekali kata2 tersebut. Kata2 yang lahir daripada seorang ulama' murabbi haraki menyedarkan aku bahawa tidak ada masa lagi untuk berlengah. Tidak ada masa bersenang-lenang untuk pendaei yang memperjuangkan agama Allah. Setiap detik masa yang berlalu sentiasa mendambakan kudrat insan2 yang cintanya kepada Islam dan berusaha memperjuangkannya. Tugas mereka untuk membawa sinar Islam bagi memandu kehidupan manusia. Mudah2an aku di kalangan mereka itu. Mereka yang dijanjikan Tuhan kemenangan di akhirat setelah syurga itu dibayar dengan titik peluh, luka parah, susah senang mereka dalam perjuangan Islam di muka bumi ini.

111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar. (Surah At-Taubah : ayat 111)

Sejak akhir2 ini aku ditimpa dengan pelbagai cubaan dan cabaran. Terutamanya dugaan dalam persatuan dan pengajian. Terasa letih dan begitu lemah untuk menghadapinya. Ilmu masih kurang. Kerja2 persatuan banyak yang lompang. Innalillah..

Tapi, kenapa kelemahan menjadi halangan?. Kelemahan diri ini menghalang aku untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Adakah Tuhan jadikan aku lemah untuk melaksanakan tanggungjawab itu? Tidak sekali2. Bukan kelemahan itu kerana sifat tabiemu. Akan tetapi kesilapan, dosa dan maksiat kepada Tuhan penyebabnya. Itulah kelemahanmu.

286. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir". (Surah al-Baqarah : ayat 286)

Aku korepsi diri. Ya, sedarlah aku sekarang. Sudah jauh terpesong aku dari jalan kebenaran. Aku terlupa kepada tanggungjawab yang ditinggalkan. Tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Tuhan dan makhluk seluruhnya nanti. Bumi yang aku pijak ini akan menjadi saksi di hadapan Tuhan siapa aku sebenarnya di akhirat nanti. Aduhai.. kerdilnya. Alangkah hina dan tidak bermayanya hambaMu ini. Kulit muka hamba ini akan bertukar warnanya menjadi kemerahan, terasa seperti terkoyak dan berguguran kerana merasa amat malu kepadaMu. Malu kerana dosa. Malu kerana derhaka. Ya Allah, Engkau jauhilah aku daripada keaiban di hari pembalasan.


Apa yang perlu aku lakukan sekarang?. Persoalan akhir menjangkau benak pemikiran. Jawapannya ada pada diri aku sendiri. Kembalilah kepada Tuhanmu. Bertaubatlah dan pohon keampunannya dari Tuhan Yang Maha Pencipta. Laksanakanlah tanggungjawabmu dengan sebaik2nya kerana yang demikian itu sahajalah yang akan membawa kepada kejayaan. Dan perlaksanaan tanggungjawab dengan baik itu memerlukan sebuah perancangan yang strategik. Seringkali kita dengar kata2 : "Perancangan itu tidak pernah gagal, akan tetapi manusia yang gagal merancang". Ya Allah, bantulah hambaMu ini merancang kehidupannya. Kehidupan ke arah keredhaanMu dan ketaatan terhadapMu. Amin Ya Rabbul 'Izzati..

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Dinginnya Renyai-renyai Hujan Di Egypt

Posted on Sabtu, Oktober 25, 2008
Filed under , , | Leave a Comment

Bismillah..
Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi. NikmatNya terlalu banyak untuk dihitung. RahmatNya terlalu luas untuk dinilai. Namun, kenapakah setiap hembusan nafas ini seringkali tidak disyukuri oleh hamba yang hina ini? Wahai Tuhan, fatamorgana dunia acapkali mengaburi mata hati ini. Kepalsuan nafsu dan syaitan mengaburi kebenaran dalam jiwa raga. Kabulkanlah doa hambaMu yang hina ini :
"Wahai Tuhan kami, bantulah kami dalam mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan memperelokkan ibadat kepadaMu" Doa yang diajar oleh kekasihMu, Muhammad SAW kepada kami ini sungguh besar ertinya. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui segalanya.

Perjalanan semalam amat besar nilainya. Musafir ilmi ke Perlembahan Nil, meninggalkan bumi pertiwi bukannya tiada makna. Lambaian syahdu kaum keluarga dan sanak saudara masih bermain di mata. Indah permai desa masih terbayang di jiwa. Aku tinggalkan semuanya itu bukan kerana suka-suka atau sengaja tidak bermakna. Tapi jiwa ini perlu diisi dengan cahaya ilmu dan suluhan agama. Perjuangan menuntut ilmu perlu diteruskan meskipun kepahitan sedia menanti. Duri di sepanjang jalan perjuangan ini sedia menyusuk daging-daging lembut kesabaran. Mudah-mudahan kesusahan ini akan sanggup untuk menebus daki-daki kemaksiatan.

Di Lapangan Terbang Singapura

23 Oktober 2008, 9.15 malam- Penerbangan dari Penang ke Singapura telah sedia berlepas. Singapore Airlines, penerbangan yang dipilih oleh aku itu mengerakkan sayap kapal terbangnya. Pergerakkannya mulai menjadi laju dan memecut deras ke ruang langit bumi. Setelah berlalunya sebuah episod sedih perpisahan bersama keluarga dan sahabat handai di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang itu, aku telah sedia menempuh perjalanan yang memakan masa hampir 16 jam itu. Iaitu 1 jam 25 minit masa perjalanan dari Penang ke Singapura, 3 jam 40 minit masa untuk transit di Lapangan Terbang Changi, Singapura, dan10 jam 20 minit masa penerbangan dari Singapura ke Egypt. Lebih setengah hari waktu perlu dihabiskan untuk merayau-rayau di Airport dan duduk tercegat dalam kapal terbang tentunya meletihkan dan menyeksakan. Aku kuatkan hati berbekalkan semangat dan iringan doa mereka yang dikasihi untuk menempuh saat-saat penuh kepayahan ini. Benarlah sabdaan kekasih Ilahi :

"Perjalanan musafir itu sebahagian daripada penyeksaan, Ia menghalang seseorang kamu dari tidurnya, makanannya dan minumannya...."- hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

24 Oktober 2008, 6.40 pagi (waktu Mesir)- Alhamdulillah, kapal terbang yang dinaiki aku bersama 6 orang sahabat yang lain selamat mendarat di Lapangan Terbang Baru (Mathor Jadid) Kaherah. Penerbangan kami berjalan seperti yang dijadualkan. Penat letih tak dapat diungkapkan ketika itu. Dengan rasa penuh kesyukuran dan berdebar-debar untuk bertemu rakan-rakan yang sedia menanti kami di sini, aku langkahkan kaki keluar dari kapal gergasi Boeing 747 Singapore Airline itu ke kaunter imigresen dan seterusnya ke tempat pengumpulan barang bagasi. Sambil menunggu barang aku sampai dari mesin membawa barang bagasi itu,
redup jauh aku lihat kelibat rakan-rakan yang menunggu di luar. Muncul rasa gembira dalam hati dan tak sabar-sabar rasanya memeluk erat mereka yang menunggu di sana. 2 bulan meninggalkan bumi Mesir cukup memberikan seksa rindu kepada mereka. Yalah, mana tidaknya, rakan-rakanlah umpama pengganti kaum keluarga dan sanak saudara di sini. Tempat berkongsi segala suka dan duka. Saling bantu membantu ketika memerlukan pertolongan. Benarlah sabdaan Rasulullah SAW : "Umpama hubungan seorang Mukmin dengan mukmin yang lain ialah seperti sebuah bangunan. Mereka saling lengkap melengkapi antara satu sama lain". Hubungan mereka didasari atas pangkal keimanan dan mencapai keredaan Allah. Bukan kerana maksud duniawi dan mencapai sesuatu daripadanya yang bersifat kebatilan. Mudah-mudah hubungan ukhuwah ini akan terus berkekalan.

Bersama YDP MKKK, Ustaz Abu Bakar Razak di Mathor Jadid

Setelah puas bertegur sapa, bertanya khabar, dan bergurau mesra di saat pertemuan itu, kami bertolak ke asrama Kedah di HaiyuAsyir dengan 2 buah kereta yang sedia menanti. Di asrama Kedah Haiyu Asyir itulah teratak indah aku dan rakan-rakan meniti kehidupan mahasiswa sudah hampir 2 tahun. Imaginasi kembali bermain di fikiran aku mengenangkan tempat-tempat dan suasana di sini yang tiada perubahannya ketika di sepanjang perjalanan. Yalah, 2 bulan bukannya masa yang cukup panjang untuk perubahan dari segi pembangunan di sini. Bahkan ada ustaz-ustaz aku yang sudah tamat pengajian dan pulang ke Malaysia bertahun-tahun lamanya, apabila mereka datang ziarah ke sini, mereka mengatakan tiada perubahan besar yang berlaku di sini. Masih kekal bangunan dan wajah tempat-tempat di sebahagian besar kawasan pengajian ketika mereka masih di sini dahulu. "Mesir memang sebuah negara yang sangat unik dan antik". Bisik hatiku.

Sesudah sampai di perkarangan asrama, aku lihat terdapat beberapa orang sahabat yang sudah sedia menunggu ketibaan aku atau secara kebetulan sudah berada di situ. Dihulur salam mesra, ditanya khabar berita dan disapa ceria sesama kami. Setelah sarapan bersama di restoran Darul Ehsan, kami naik ke bilik. Aku meminta izin sahabat-sahabat yang datang berziarah untuk berehat sementara waktu kerana tidak mampu untuk melayan mereka buat seketika itu. Keletihan yang teramat memudahkan mata layu ini terlelap ke alam mimpi. Sementara sahabat-sahabat yang datang aku biarkan mereka menjamu kuih-kuih raya yang aku bawa serta membelek naskah-naskah surat khabar dan majalah dari Malaysia. Tentunya mereka kempunan untuk menikmati semua itu setelah bertahun lamanya meninggalkan Malaysia.

Sejam lebih selepas itu mimpi aku terganggu dek kejutan oleh teman sebilik. Dia memberitahu aku bahawa waktu solat Jumaat telah masuk dan azan telah berkumandang dari masjid-masjid berdekatan. Aku bingkas bangun dan bergegas bersiap-siap ke masjid. Setelah memakai pakaian bersih dan mengenakan sedikit wangian, aku berjalan ke Masjid Bir Walidain yang terletak hanyalebih kurang 350 meter dari asrama. Keterlewatan ketika bersiap-siap untuk ke masjid tadi menyebabkan khutbah Jumaat telah bermula. Aku ambil tempat lalu aku solat sunat tahiyatul masjid. Sesudah selesai, aku duduk dengan tenang sambil mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib. Khutbah yang disampaikannya cukup bersemangat dan bertenaga. Tidak seperti khutbah di Malaysia yang selalunya dengan hanya membaca dari teks-teks khutbah yang disediakan oleh jabatan agama negeri. Adakalanya nada yang disampaikan
oleh sesetengah khatib tidak serasi sepertimana isipati yang terkandung di dalam teks tersebut. Tidak mengapalah, bagi aku,yang penting para hadirin sidang jumaat mendapat apa yang disampaikan. Bukan hanya melenguk di masjid dan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Akan tetapi khutbah di Mesir disampaikan tanpa teks dan diucapkan dengan penuh penghayatan. Tambahan pula jika khutbah itu disampaikan oleh ulama'-ulama' yang masyhur kealiman dan ketinggian ilmu mereka di sini.

Tamat sahaja khutbah dan solat Jumaat serta melakukan ibadat-ibadat sunat di masjid itu, aku bergerak pulang ke asrama. Tidak disangka-sangka, dalam perjalanan pulang itu tiba-tiba hujan renyai-renyai turun melembabkan tanah permukaan bumi. Hujan ini menandakan musim sejuk sudah mula tiba. Titik-titik hujan mengenai tubuh dan pakaian menyebabkan aku melajukan
langkah ke asrama. Takut-takut demam pula. Dingin hujan ini meyusuk ke tubuh badanku. Rongga-rongga kulit itu tangkas merangsang elemen kesejukan yang terdapat dalam kulit menyebabkan aku bertindak balas dengan melangkah segera ke bilik. Sampai sahaja

di bilik, aku intai dari jendela sambil melihat titik-titik hujan yang turun renyai-renyai menerpa bumi kering ini. Rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas nikmat yang begitu berharga ini. Bertasbihlah bumi memuji Tuhannya yang Maha Mencipta lagi Maha Melaksanakan mengikut kehendakNya.

Suasana sepanjang perjalanan ke asrama Haiyu Asyir

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Kemanisan Iman dan Cinta

Posted on Rabu, Oktober 15, 2008
Filed under , | Leave a Comment

Kemanisan, kelapangan, dan ketenangan hati merupakan nikmat Tuhan yang tidak terhingga. Ramai manusia yang tertipu dengan kemanisan dan kesenangan zahiriah dunia yang tidak kekal, akan tetapi hatinya tidak merasai keindahan yang sebenar daripada hakikat kehidupan. Seluruh tubuhnya digerakkan dan dijanakan untuk mengecapi apa yang indah di matanya. Cintanya diarahkan kepada kepalsuan dunia. Jiwanya sempit serta dadanya merasa sesak ibarat dunia yang luas ini tidak cukup untuk menampung keinginan hatinya yang begitu besar. Tidak merasa cukup terhadap rezeki yang melimpah ruah dalam genggamannya. Akhirnya, keinginan yang tidak berkesudahan, serta rasukan nafsu dan hasutan syaitan memaksa manusia itu menggadaikan imannya, cintanya yang sebenar terhadap Tuhannya.
Dari Anas ra, Rasulullah saw. telah bersabda : 3 golongan yang barangsiapa berada dalamnya akan memperolehi kemanisan iman iaitu : Mereka yang menjadikan Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada apa yang selain dari keduanya. Tidak mencintai seseorang itu melainkan kerana Allah serta membenci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah Taala
membebaskan daripadanya seumpama membenci untuk mencampakkan dirinya ke neraka.

Sungguh parahnya hati manusia itu. Jiwanya kesakitan. Dihinggapi penyakit demam panas yang teruk. Sehingga tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Umpama seorang pesakit demam teruk yang tidak dapat membezakan antara rasa madu dan cuka. Lalu dikatakannya semuanya sama sahaja. Tidak ada bezanya. Itulah ibarat hati yang kesakitan. Sakit dengan dosa dan maksiat.

Rasulullah saw. telah menunjukkan kepada umatnya kebahagian yang sebenarnya dengan mengecapi kemanisan iman. Lalu ditetapkan garis panduan dan unsur-unsur yang perlu dilengkapi setiap muslim itu. Iaitulah meletakkan cinta dan kasih utamanya hanya terhadap Allah dan RasulNya.
Imam Nawawi dalam kitab syarah Sahih Muslim menyatakan maksud kemanisan iman ialah menikmati kelazatan melakuk
an ketaatan serta menahan kesusahan dengan sabar untuk mendapat reda' Allah Taala dan rasulNya SAW dan mendahulukan demikian itu melebihi kesenangan dunia.
Berkata sebahagian ulama' : Kecintaan adalah persetujuan hati atas apa yang diredai Allah Taala serta menyukai apa yang disukaiNya dan membenci apa yang dibenciNya.
Pangkal cinta itu ialah kecenderungan terhadap apa yang dipersetujui oleh pihak yang dicintai.


Kita dapat perhatikan di tengah-tengah kota moden sekarang bagaimana pasangan kekasih melahirkan rasa cinta mereka. Seorang lelaki sanggup melaksanakan apa sahaja demi memenuhi kehendak wanita idamannya. Kerana mereka merasakan itulah cinta hakiki. Cinta hingga ke mati.


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Tersungkur Di Riba Kerinduan (Bhg.1)

Posted on Rabu, Oktober 08, 2008
Filed under , , | Leave a Comment

Alhamdulillah, syukur tahun ini berkesempatan menyambut hari raya di tanah air. Setelah 2 tahun di perantauan nun jauh di tengah dunia, Egypt. Hati dan perasaan tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Kaum keluarga, sahabat handai, dan teman seperjuangan menjadi pengubat duka, terurai segala kerinduan lara. Bukanlah menjadi suatu detik perancangan untuk aku terbang pulang menghirup udara Malaysia, menikmati saat-saat bahagia bersama keluarga pada tahun ini, akan tetapi kerana memenuhi permintaan ibu yang dikasihi, akhirnya kakiku menjengah ke bumi pertiwi.

Setelah 2 bulan kelibat udara, gelagat manusia, rentetan peristiwa gembira dan duka ditempuhi di sini, aku terasa ingin mengungkapkan satu cerita. Cerita yang tidak dapat dilupa, akan aku ingat sampai bila-bila. Bukan cerita biasa tetapi peristiwa yang menyentuh jiwa.

Peristiwa pada hari raya ke-5 ini adalah berkenaan hati seorang ibu yang diusik dek kerinduan kepada seorang anak di perantauan. Ketika si ibu menikmati saat-saat gembira berhari raya bersama ahli keluarga, hatinya terkenang kepada seorang permata nun jauh di sana tidak dapat bersama-sama mereka. Itulah anaknya yang terpaksa merantau jauh meninggalkan kampung desa demi perjuangan ilmu yang tiada kesudahan. Akhirnya, perasaan si ibu tidak dapat dibendung lagi kerana hatinya memang dicipta demikian rupa. Air mata deras mengalir mengiringi limpahan rindu terhadap anak yang diingati.

Ketika aku dihantui keletihan selepas pulang dari menziarahi kawan-kawan di Alor Star, aku lunjurkan badan bagi menghilangkan keletihan. Tidak aku sangka tidur petangku hari itu akan diganggu oleh tetamu yang tidak diduga. Mimpiku terganggu dek kejutan oleh ayah. Katanya ada tetamu yang ingin berjumpa dengaku. Dalam kepayahan, aku bingkas bangun juga untuk meraikan tetamu di ruang tamu rumahku. Jam ketika itu baru sahaja 5.00 petang. Aku hanya dapat menikmati beberapa minit tidur petangku hari itu bagi memulihkan kesegaran badan setelah seharian penat berjalan-jalan. Setelah aku bersihkan muka dan salinkan pakaian, aku menuju ke ruang tamu rumah. Kelihatan ibu dan ayahku sedia berbual bersama 2 orang tetamu. Segera aku menuju kearah mereka dan menghulurkan tangan bersalaman dengan tetamu yang tidak kukenali ini. Aku duduk bersebelahan ayah sambil aku cuba amati dan meneka siapakah mereka yang seakan telah menjengah setengah abad usia. Rupanya betullah sangkaanku, mereka ialah ibu dan ayah kepada seorang rakanku di Mesir. Walaupun diperkenalkan oleh ibu, tapi aku sudah dapat menjangkakan siapakah mereka sebelumnya dengan raut wajah mereka yang sebentuk rupa wajah seorang rakanku di sana. "Seharusnya aku menyantuni sebaik mungkin tetamu yang bukan sahaja kerana mereka lebih tua daripadaku, bahkan mereka ialah ibu dan ayah kepada rakan karibku". Itulah yang bermain di fikiranku ketika itu.

Baru sahaja aku mengambil tempat dudukku di kusyen empuk baru rumahku itu beberapa ketika,tiba-tiba aku tergamam seketika. Begitu juga ibu dan ayahku. Dalam sekelip mata, suasana yang gembira tadi berubah menjadi pilu apabila ibu kepada rakanku ini tiba-tiba menekup wajahnya serta menangis teresak-esak di tempat duduknya. Tangisan rindu seorang ibu perlahan-lahan meresap masuk ke jiwaku. Begitulah jiwa sang ibu kepada anaknya yang begitu dikasihi.


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Mai Dah..

Posted on Sabtu, Julai 19, 2008
Filed under , | Leave a Comment

Bismillah..
Kesibukan yang teramat memaksa ana tidak sempat meng
updated laman blog ini. Hampir 6 bulan lamanya. Hmm.. satu tempoh yang cukup lama. Yalah, sebenarnya bukan kerana sibuk sepanjang masa itu penyebabnya. Mungkin itu hanya alasan bagi ana, tetapi yang pasti kesilapan dalam menyusun masa dengan baik. Masa lapang masih banyak terbuang.

Kisah hidup para ulama' terdahulu sepatutnya ana jadikan panduan dalam menyusun masa ana. Lihatlah Imam Abu Hanifah yang membahagikan masa dalam kehidupannya kepada 3 bahagian. 1/3 untuk beribadat, 1/3 untuk bermuamalat dan 1/3 untuk beristirehat. Hmm.. nampaknya kitab
قيمة الزمان perlu ana baca dan hayati semula. Betapa berharganya nilai masa di sisi ulama'. Itu ulama', ilmu dan amal mereka yang begitu tinggi melangit. Kedudukan di sisi Tuhan?. Tentu lagi lah. Inikan pula pula ana yang cukup kerdil. Kerdil dari segi ilmu dan amal.

Firman Allah Taala dalam surah Fathir, ayat 28 :
(إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ.)
(Sesungguhnya mereka yang takut kepada Allah Taala daripada kalangan hambaNya hanyalah para ulama')

Ok, bersedia untuk bergerak wahai pemuda.. Kemudi hari muka dengan semangat dan jiwa Islami..

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Muhasabah dirimu wahai insan..

Posted on Khamis, Januari 03, 2008
Filed under , | Leave a Comment

Waktu berganjak begitu pantas. Detik-detik berlalu tanpa jemu. Hari-hari lalu meninggalkan manusia yang masih terkapai-kapai. Akibat alpa dan leka dalam bayangan fatamorgana, majoriti manusia terjebak dalam keseronokan dan keindahan dunia. Hanya insan-insan yang menyedari akan hakikat kehidupan dan memahami erti penghambaan terhadap Tuhan yang dijamin kejayaan. Mereka meniti kehidupan di dunia ini ibarat tempat singgahan dalam perjalanan menuju destinasi tujuan.


Bahagialah mereka yang berjaya mengharungi onak dan duri sepanjang perjalanan. Menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan. Agar tidak sesat dalam membuat penilaian dan pilihan. Apabila kehendak dan suruhan Tuhan itu dipenuhi, larangan dan tegahanNya dijauhi, apakah masih khilaf kita dalam mencari kehidupan yang hakiki? Itulah sebenarnya maksud perjuangan yang abadi. Perjuangan dalam menghambakan diri kepada Ilahi. DaripadaNyalah kita diciptakan dan kepadaNya sajalah kita akan dikembalikan..

Wahai insan, sedarlah dirimu hanya hamba abadi. Kepada Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mencipta. Mengapa dunia dan nafsu yang kamu sembahkan. Walaupun tidak secara zahiri, namun tanpa disedari, patuhan kamu secara maknawi. Menuruti setiap jejak langkah makhluk yang mensyirikkan Tuhan Pencipta langit dan bumi. Meninggalkan bimbingan Al-Quran dan Sunnah di tepi. Kebaikan kamu abaikan, keseronokan dan kepuasan tanpa erti yang kamu inginkan.

Kembalilah wahai insan ke pangkuan kebenaran. Pesongkan dirimu dari kejahatan yang meyongsangkan itu. Agar kamu tidak menyesal kemudian. Pada hari amalan kamu ditimbang dan diberi pembalasan..

"Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab (pada hari kiamat)"
- ٍSaidina Umar Al-Khattab
حَاسِبُوا أنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا

Mulakan tahun baru (Hijriah) yang akan tiba dengan semangat yang jitu dan tujuan yang jelas..
Tetapkan tarbiah, laksanakan wajibah..
Ayuh pemuda Islam!



These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Tirai 2008 dibuka dengan isu maruah..

Posted on Rabu, Januari 02, 2008
Filed under , , | Leave a Comment

Maruah juga dirujuk sebagai harga diri. Istilah mutakhir digunakan ialah integriti. Apapun, ia merujuk kepada sesuatu nilai paling tinggi yang ada dalam diri manusia. Manusia berbeza dengan binatang. Binatang ada otak tetapi tiada akal. Binatang ada nafsu tetapi tiada sifat malu. Binatang ada keinginan tetapi tiada peraturan. Binatang ada kehendak tetapi tidak berfikir dosa pahala.

Binatang tidak berfikir panjang untuk memenuhi runtunan nafsunya. Ia tidak berfikir tentang implikasi adegan seksnya dengan pasangan binatang yang lain- ‘isteri’nyakah? ‘kawan baik’nya kah? ada anakkah nanti, di tengah khalayak manusia atau tidak. Yang penting kepuasan nafsu dicapai. Ini binatang. Dan memang layak perangai binatang sebegini.


Manusia yang ada nafsu, keinginan dan kehendak mestilah terbeza dari haiwan lain. Apabila ingin memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut mestilah berdasarkan akal. Namun akal semata-mata tidak menjamin benar salah dan memandu dengan baik kepada tindakan manusia. Akal berhajat kepada panduan agama, petunjuk wahyu sebenar yang menjadi pembimbing manusia, sama ada manusia Melayu, Cina, India, Arab, Inggeris dan lain-lain.


Manusia yang mahu melepaskan nafsunya mestilah menurut peraturan. Di zaman Arab jahiliah pun, keturunan yang baik tidak lahir dari perzinaan. Agama-agama yang lain pun punya peraturan. Jika peraturan itu dilanggar, manusia tersebut sepatutnya bertanggungjawab dengan perbuatannya.


Tirai tahun baru 2008 baru dibuka. Sepatutnya ia dibuka dengan ceria, baik dan penuh kebaikan. Namun, di tanahair tercinta ini ia dibuka dengan isu pendedahan aksi di bilik tidur DVD oleh seorang menteri yang menjaga KESIHATAN, tetapi beliau sendiri tidak menjaga ‘KESIHATAN’ diri, keluarga dan maruahnya. Kalau yang dipentingkan isteri, anak dan keluarga, mengapa terlibat dalam aksi salah dengan bukan isteri?


Pengakuan bersalah kerana memang bersalah adalah baik. Tetapi lebih baik kalau meletakkan jawatan sebagai menteri kerana maruah adalah lebih mahal dari jawatan. Di luarnegeri, banyak skandal seks melibatkan pemimpin politik mengheret sipelakunya meletakkan jawatan dan mengundurkan diri. Ini lebih gentleman dan bermaruah, bukan sekadar memohon maaf.

Cukup sayang dan malang, di sebuah negara yang cemerlang dan terbilang, kalau seorang menteri yang sudah mengaku bersalah dengan skandal seks dibiarkan untuk terus menerajui sebuah kementerian yang mempromosi seks sihat!?


rantisi_jr"-tranungkite.net

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Aduhai Umat Islam..

Posted on Sabtu, Disember 29, 2007
Filed under , | Leave a Comment


Sedih, bingung dan marah.. Perasaan saya bercampur-baur bila membaca berita dunia hari ini. Terutamanya mengenai peristiwa pembunuhan bekas perdana menteri Pakistan, Benazir Bhutto,54 baru-baru ini. Beliau terkorban bersama 30 penyokongnya dalam serangan tembak dan bom selepas pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP) itu berucap pada satu rapat umum, kelmarin. Pakistan yang akan melangsungkan pilihan raya umum pada 8 Januari ini menyaksikan pertembungan hebat parti-parti politik untuk menerajui negara Islam yang mempunyai kuasa nuklear ini.
Setelah berlakunya peristiwa tragis ini, kebimbangan bahawa negara ini akan terjerumus dalam suasana politik yang tidak menetu amat kita rasai. Tindakan golongan estrimis (ataupun kemungkinan golongan orentalis) ini bakal memberikan impak yang begitu besar bukan sahaja kepada negara Pakistan bahkan juga kepada negara-negara Islam yang lain. Ketidakstabilan politik dan kecelaruan sistem pentadbiran boleh memecah-belahkan umat Islam sedikit demi sedikit.
Isu Palestin yang masih belum selesai sejak sekian abad dijajah oleh Israel serta negara Iraq yang dilanda krisis perbalahan di antara kaum dan puak selepas penjajahan Amerika di negara Teluk itu pada tahun 2003 amat menyedihkan kita sebagai umat Islam. Semakin hari kita diinjak-injak dengan pelbagai masalah dan mehnah. Serangan-serangan Yahudi, Nasrani dan orentalis-orentalis Islam tidak putus-putus menerkam diri kita. Manakala kita masih dalam kecelaruan, perpecahan, dan perbalahan sesama kita.
Teringat pada sabdaan Rasulullah SAW yang menceritakan kepada kita keadaan umat Islam akhir zaman yang saling berpecah-belah dan bunuh-menbunuh sesama mereka apabila mereka tidak berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Bahkan ramainya umat Islam pada ketika itu ibarat buih-buih di lautan yang tidak bermaya. Hanya bernyayi apabila terhempas di tepian pantai. Lalu lenyap menghilang apabila dihanyut ke laut.
Hanya mereka yang berpegang kepada tali wahyu Allah Taala dan sunnah Rasulullah SAW sahaja yang akan berdiri teguh, tidak goyah ditimpa badai.
Ya Allah, Tuhan kami.. tetapkan kami pada jalan agamaMu, Islam yang suci ini..

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ganjaran yang Sering Dilupakan..

Posted on Rabu, Disember 12, 2007
Filed under , | Leave a Comment

Bissmillah..
Herm.. Pagi hari ni aku rasa sejuk betul berbanding hari-hari lalu. Ye la, musim sejuk di Mesir ni semakin menjengah ke pertengahan musim. Kesejukkan yang menusuk rongga-rongga kulitku. Nak bangun tidur untuk solat Subuh pun bukan main payah. Sayang betul nak meninggalkan gua saratogaku tu. Meninggalkan keenakkan lenaku. Mampukah aku?. Namun aku kuatkan semangat, gagahi jugak bangun dari hamparan yang melalaikan aku itu. Setelah kusedari akan suatu tujuan. Tujuan untuk mengerjakan solat berjemaah bersama rakan-rakan. Gema azan pun sudah kedengaran di segenap ruang Asrama Darul Aman, kediaman pelajar Kedah di bumi Anbia' ini.

Teringat aku kepada sabdaan Rasul Junjungan SAW : "Solat berjemaah itu adalah lebih baik berbanding solat berseorangan dengan melebihi 27 darjat". Juga pada mafhum sebuah Hadis SAW yang menkhabarkan kepada kita kelebihan solat di awal waktu dengan mendapat awal takbir selepas imam ialah ganjaran yang lebih baik daripada segala isi dunia dan apa yang berada di langit dan bumi.

Perkara apakah ini yang lebih bernilai daripada segala-galanya di dunia ini?. Sehingga jikalau manusia keseluruhannya mengetahui dan memahami hakikat ini, tidak ada yang meninggalkannya, memaling daripada mengerjakannya. Aduhai, namun kebanyakan manusia itu masih lena dalam alam fatamorgana. Pandangannya indah, tetapi hakikatnya penuh sengsara dan menyusahkan.

Itulah kenapa kita digelar sebagai manusia. Kerana kita sering lupa dan lalai. Lupa kepada hakikat dan kebenaran. Akhirnya kita tersilap dalam membuat pilihan. Mudah-mudahan Allah Taala memberikan kita petunjuk dan hidayah ke arah mana tujuan.

Aku bersihkan badan dan kusalinkan pakaian. Tetapkan di hati atas satu tujuan. Meninggalkan sementara gangguan duniawi, yang tidak habis-habis mengganggu fikiran. Mengadap kepadaMu Ya Illahi, tempatku bergantung dan mendabakan segalanya. Terimalah pengadapanku, layanilah permintaanku, ampunilah daku.
Hambamu yang penuh dosa dan kemaksiatan..

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati