Menunaikan Janji, Mencegah Permusuhan, Membantu atas Kebaikan dan Membesar-besarkan Syiar Allah

Posted on Khamis, November 01, 2007
Filed under | Leave a Comment

TAFSIR SURAH AL-MAIDAH, Ayat 1 dan 2

> Surah al-Maidah merupakan surah madaniyyah yang mengandungi 120 ayat, surah ke-5 daripada al-Quran.
> Dinamakan surah ini dengan al-Maidah kerana merangkumi kisah turunnya hidangan (al-maidah) dari langit selepas diminta oleh golongan Hawariyyun (pengikut Nabi Isa) daripada Nabi Isa RA, untuk membuktikan kenabiannya dan merupakan hari perayaan bagi mereka.
> Dinamakan juga surah al-'Uqud dan surah al-Munqizah (perlepasan) kerana perlepasan daripada tangan malaikat azab.


Maksudnya :
1. "Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakan perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternakan (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang ternakan serta sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalm keadaan ihram.

2. "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk dikorbankan) dan mengenai kalung-kalung binatang yang dihadiahkan itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredhaanNya (dengan menunaikan ibadah haji di tanah suci) ;dan apabila kamu telah selesai dari ihram, maka bolehlah kamu berburu. Dan janganlah kebencian kamu kepada sesuatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haram mendorong kamu menceroboh. dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab siksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)".

> Di dalam ayat ini, Allah Taala menyeru orang-orang yang beriman supaya mereka menuruti segala apa yang diperintahkanNya kepada mereka kerana orang yang beriman itu akan melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah.
> Daripada ayat ("penuhi serta sempurnakan perjanjian-perjanjian"-maksud ayat 1), perkara ini meliputi semua aqad dan perjanjian. Samada bersangkutan dengan sesama manusia atau di antara manusia dengan Tuhannya. Berkata Ibnu Abbas :"Aqad dan perjanjian adalah apa yang dihalalkan oleh Allah dan apa yang diharamkan serta apa yang difardukan di dalam Al-Quran kesemuanya daripada perkara-perkara taklif dan hukum-hakam.
> Di dalam ayat ini juga menerangkan harus memakan binatang ternakan iaitu unta, lembu, kambing dan sebagainya selepas disembelih mengikut hukum ketetapan syara' kecuali apa yang diharamkan oleh Allah Taala yang disebut seterusnya dalam ayat ke-3 dari surah yang sama.
> Dihalalkan binatang ternakan itu kecuali bagi berburu bagi mereka yang berihram.

> Daripada ayat ("dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa"-maksud daripada ayat 2) bermaksud tolong-menolong dalam perkara yang diperintahkan syara' atau yang menenangkan hati dan menolong dalam mencegah perkara mungkar dan maksiat.
> Kita dilarang tolong-menolong dalam perkara jelik dan maksiat iaitu apa yang dilarang oleh syara' atau apa yang dibenci oleh manusia.
> Ayat terakhir menerangkan kepada kita bahawa azab Allah amat pedih bagi mereka yang membuat maksiat dan apa yang bertentangan dengan suruhanNya.

INTIPATI AYAT
> Suruhan untuk menunaikan janji.
> Dihalalkan binatang ternakan yang disempurnakan dengan cara penyembelihan secara syari'e.
> Dikecualikan (diharamkan) binatang-binatang yang disebut di dalam ayat 3 surah Maidah dan juga binatang yang disebutkan di dalam sebuah hadis iaitu binatang yang mempunyai taring dan kuku dari jenis burung.
> Diharamkan berburu bagi orang yang dalam keadaan ihram.
> Diharuskan berburu bagi mereka yang tidak menunaikan ihram.

HUKUM

> Cara penyembelihan mengikut syara' :

1. Mazhab Maliki : Tidak sah penyembelihan kecuali dengan terpotongnya halkum dan wadajain.
2. Mazhab Syafie : Sah penyembelihan dengan memotong halkum dan mari' dan tidak perlu memotong wadajain.
3. Mazhab Hanafi : Dikira sah jika memotong halkum, mari' dan salah satu daripada wadajain.

*halkum : kerongkong atau saluran laluan makanan ke dalam perut
mari' : kerongkong
wadajain : dua urat darah di antara halkum dan mari'

-Disediakan oleh Muhammad Faiz bin Johan
Ketua Badan Ilmiah dan Pengetahuan MKKK

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Peranan Ilmu Sirah Rasulullah SAW Dalam Memahami Islam..

Posted on Selasa, Oktober 30, 2007
Filed under | Leave a Comment

Sirah Rasulullah SAW merupakan di antara cabang-cabang ilmu Islam yang perlu dipelajari dan dihayati oleh umat Islam. Selain daripada ilmu tauhid, tafsir, hadis, dan tasawwuf, ilmu berkaitan perjalanan hidup Baginda Rasulullah SAW juga adalah amat penting diketahui oleh segenap lapisan masyarakat Islam. Bagaimana kehidupan Baginda SAW ketika waktu kecilnya yang dididik dengan persekitaran yang baik, dan masa mudanya yang penuh dengan amal kebaikan sehinggakan Baginda SAW digelar dan diiktiraf sebagai Al-Amin (orang yang benar) oleh masyarakat Arab Jahiliyyah ketika itu. Bahkan kehidupan Baginda SAW setelah diangkat oleh Allah SWT sebagai Rasul menunjukkan kepada kita suatu contoh perjalanan hidup terbaik yang tidak mungkin ada pada manusia lain selain Baginda SAW.

Amat banyak sekali kebaikan dan contoh-contoh teladan yang ditunjukkan sepanjang kehidupan Baginda SAW yang tidak mampu untuk kita senaraikan kesemuanya satu persatu di ruangan risalah kecil ini. Cukuplah sekadar gambaran umum yang menjusfikasikan kepada kita bahawa perjalanan kehidupan Rasul SAW, Kekasih Allah (Habibullah), ini adalah suatu role model terulung bagi umat Islam untuk dihayati dan diikuti dalam setiap ruang lingkup aktiviti kehidupan mereka. Inilah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT yang dilahirkan di kalangan manusia untuk membimbing mereka ke jalan kebenaran, serta mengeluarkan mereka dari lembah kezaliman dan kejahatan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, ayat ke-20 :

وما ءاتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا واتقوا الله إن الله شديد العقاب
Maksudnya : "Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya."


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati